suria

Kerajaan Disaran Ambil Alih NFC

PETALING JAYA: Kerajaan disaran melantik pentadbiran korporat sementara bagi mengambil alih secara pentadbiran Pusat Fidlot Nasional (NFC) sementara menunggu proses siasatan berhubung dakwaan penyelewengan pengurusan dana selesai.

Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli mendakwa, wujudnya cubaan di pihak pengurusan NFC untuk menjalankan urusniaga mencurigakan yang akan diputuskan dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) NFC.

"Berdasarkan maklumat dalaman, saya dimaklumkan bahawa pengurusan NFC telah memanggil satu mesyuarat Lembaga Pengarah NFC dan mesyuarat agung luar biasa (EGM) minggu ini dengan hanya memberikan tempoh tiga hari untuk membuat beberapa keputusan penting.

"Antara agenda yang akan dibincangkan termasuklah membuat keputusan mengenai cadangan pengambilalihan National Meat & Livestock Corporation (NMLC) yang dimiliki oleh keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

"Saya percaya tindakan tergesa-gesa memanggil mesyuarat Lembaga Pengarah NFC dan EGM dalam tempoh yang singkat ini berniat tidak baik dan akan mengganggu siasatan terhadap NFC yang sedang berjalan," katanya di sini, Khamis.

Tambah beliau, pengambilalihan sistem pentadbiran NFC oleh badan bebas secara sementara berupaya mengelakkan lebih banyak penyelewengan berlaku.

"Oleh kerana ada cubaan di pihak NFC untuk menjalankan urusniaga yang mencurigakan, saya mencadangkan kerajaan melalui wakil-wakilnya di dalam Lembaga Pengarah NFC perlu melantik pentadbir korporat sementara yang bebas untuk mengambil alih pentadbiran NFC sementara siasatan selesai.

"Tindakan ini bertepatan dengan amalan pengelolaan yang baik seperti yang biasa diamalkan untuk mengelakkan lebih banyak penyelewengan berlaku," katanya.

Selain itu Mohd Rafizi turut mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan agar campur tangan dalam isu berkenaan.

"Saya mendesak Datuk Seri Mohd Najib sebagai Menteri Kewangan supaya tidak lagi berdiam diri dan campur tangan segera dengan membekukan sebarang aktiviti dan keputusan di dalam semua syarikat-syarikat yang pernah menggunakan dana RM250 juta yang diberikan oleh kerajaan Malaysia," katanya.

Artikel Lain