Indonesia Wujudkan Pangkalan Data Pusat Pembantu Rumah

PUTRAJAYA: Kerajaan Indonesia telah mewujudkan Pangkalan Data Pusat Pembantu Rumah bagi memudahkan pengurusan dan proses pembekalan pembantu rumah ke negara ini, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Di bawah sistem baru itu, beliau berkata semua agensi pembekal pembantu rumah Indonesia perlu mendaftarkan biodata pembantu rumah di dalam pangkalan data pusat yang dikendalikan oleh kerajaan sendiri.

Beliau berkata sistem itu bertujuan menghapuskan keperluan orang tengah di negara itu selain mengurangkan kos operasi serta mempermudahkan dan mempercepatkan proses pembekalan tenaga kerja ke negara ini.

"Kerajaan Indonesia memaklumkan kepada kita bahawa mereka telah mewujudkan pangkalan data pusat pembantu rumah. Dengan ini agen-agen tidak boleh berurusan secara bebas dan sendiri lagi.

"Selepas pembantu rumah menjalani latihan wajib selama 200 jam, biodata mereka dimasukkan dalam pangkalan data pusat.

Kemudian, data itu akan diberikan kepada agensi-agensi di Indonesia untuk menghubungi agensi-agensi di Malaysia," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Beliau menjangkakan agensi pembekal Malaysia akan menerima biodata pembantu rumah tersebut mulai hujung bulan ini.

Menurutnya selepas menjalani beberapa proses yang ditentukan, kumpulan pertama pembantu rumah Indonesia dijangka akan tiba di negara ini pada Mac depan.

Penghantaran pembantu rumah itu kembali dilakukan selepas kerajaan Indonesia menarik balik secara rasmi moratorium penghantaran pembantu rumah ke Malaysia pada 1 Disember lepas.

Sementara itu beliau berkata tujuan kerajaan memberi peluang pekerjaan kepada pekerja asing yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia adalah untuk membantu mereka mengumpulkan wang yang secukupnya untuk kembali ke negara asal mereka.

Dalam pada itu beliau berkata Rang Undang-undang Kanak-kanak dan Orang Muda Pekerjaan (pindaan) 2010 telah diluluskan di Dewan Rakyat tahun lalu untuk memastikan golongan itu tidak dieksploitasi sehingga mengganggu pendidikan, kesihatan dan keselamatan mereka. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain

Afgan angkat berat 30 minit setiap hari