suria

Tempoh Reman Pegawai Kanan Jabatan Hutan Perak Dilanjutkan Lima Hari

IPOH: Tempoh reman seorang pengawai kanan Jabatan Perhutanan Negeri Perak disambung lima hari lagi bagi membantu siasatan kes berkaitan balak oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lanjutan perintah reman itu yang dipohon SPRM dikeluarkan Majistret Fauziah Hani Ahmad Fuzi pagi tadi selepas tempoh reman tujuh hari pegawai terbabit berakhir, Rabu.

Sementara itu, seorang 'tauke balak' berusia 41 tahun yang ditahan ketika datang ke pejabat SPRM cawangan Perak di sini bagi membantu siasatan kes tersebut pada 7 petang semalam, direman empat hari bermula Rabu.

Pada 6 Januari lepas, akhbar melaporkan seorang pegawai kanan Jabatan Perhutanan Perak ditahan SPRM selepas didapati menyembunyikan wang tunai RM720,000 dan beberapa buku amanah saham membabitkan pelaburan bernilai lebih RM4 juta di rumahnya di kuarters kerajaan berhampiran Kem Tentera di Gerik.

Sebelum itu, akhbar melaporkan seorang pegawai kanan Jabatan Perhutanan Perak bersama seorang tauke balak, masing-masing berusia 40 dan 50 tahun, ditahan SPRM susulan penemuan lebih 300 balak siap dipotong bernilai RM600,000 di kawasan pembalakan Hutan Kuak Luar, berdekatan Pengkalan Hulu.

Difahamkan pegawai kanan berkenaan kemudiannya dibebaskan.

Dalam serbuan itu, SPRM turut menahan tiga lori sedang mengangkut balak dan merampas beberapa jentera berat di kawasan pembalakan berkenaan. Siasatan awal SPRM juga mendapati balak itu ditebang di luar kawasan tender. - BERNAMA

Artikel Lain