Syabas Gesa Kerajaan Persekutuan Dan Selangor Segera Selesaikan Masalah - Semasa | mStar

Syabas Gesa Kerajaan Persekutuan Dan Selangor Segera Selesaikan Masalah

KUALA LUMPUR: Kerajaan persekutuan dan Selangor diminta menyelesaikan segera masalah pelaksanaan projek pembinaan Loji Rawatan Air dan pembinaan empangan bagi mengelak berlakunya krisis bekalan air di Lembah Klang menjelang 2014.

Gesaan tersebut dibuat oleh Pengerusi Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) Tan Sri Rozali Ismail yang menyebut sehingga kini projek yang masih belum dapat diteruskan ialah pembinaan Loji Rawatan Air Sungai Langat 2, Projek Penyaluran Air Mentah Pahang dan Selangor serta pembinaan empangan dan loji baru di Salak Tinggi, Selangor.

"Projek-projek ini tidak dapat diteruskan akibat tidak mendapat persetujuan kerajaan negeri membabitkan termasuk isu tanah dan harga air," katanya di satu sidang akhbar di sini, Rabu.

Rozali berkata projek-projek tersebut perlu disegerakan untuk memenuhi permintaan bekalan air di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang meningkat 3.5 peratus setiap tahun.

"Kapasiti pengeluaran air bersih sedia ada tidak cukup menampung permintaan kerana kadar pengeluaran air di loji rawatan sekarang mencapai tahap maksimum dan tidak boleh lagi dipertingkatkan.

"Keperluan air dijangka meningkat kepada 4,354 juta liter sehari (JLH) hujung tahun ini berbanding kapasiti pengeluaran yang rendah iaitu 4,326 JLH tahun yang sama di loji sedia ada," katanya.

Beliau berkata pada 5 Jan lepas, empat kawasan di Selangor iaitu Hulu Langat, Petaling, Sepang dan Kuala Langat mula mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual secara tiba-tiba dan mungkin akan berulang pada masa akan datang.

Kawasan berkenaan mendapat bekalan dari dua loji utama - Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat dan LRA Sungai Semenyih, yang masing-masing diuruskan oleh Puncak Niaga Sdn Bhd dan sebuah anak Kumpulan Perangsang Selangor Berhad, Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS), kata Rozali.

Punca utama gangguan bekalan air itu, katanya, adalah disebabkan kadar pengeluaran air yang terhad di LRA Sungai Langat dan LRA Sungai Semenyih.

"Selain daripada masalah kadar pengeluaran air, faktor cuaca panas dan musim perayaan Tahun Baru Cina menyebabkan penggunaan air yang banyak dan menyumbang kepada masalah bekalan air," katanya.

Rozali berkata setakat ini pihaknya menerima 2,177 aduan dari empat kawasan yang menghadapi masalah bekalan air dan bagi menyelesaikan masalah, Syabas menyediakan 42 buah lori tangki untuk mengagihkan bekalan air.

Sehubungan itu, Rozali menasihati pengguna menggunakan air secara berhemah dan tidak melakukan pembaziran untuk mengatasi masalah tidak mendapat bekalan air.

Mereka yang memerlukan bantuan bekalan air tangki ataupun ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai gangguan bekalan air boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (PUSPEL) di talian bebas tol, 1-800-88-5252. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain