suria

SUPP Masih Berdepan Tugas Getir Capai Perdamaian

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) yang baru dilantik, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui akan membuat beberapa pengumuman pada Jumaat sebagai sebahagian daripada pelan transformasi parti sejak beliau mengambil alih jawatan presiden bulan lepas. Bagaimanapun, apa yang masih menjadi tanda tanya ialah sama ada kumpulan yang diketuai oleh bekas calon presiden Datuk Seri Wong Soon Koh, sedia berbaik-baik dan melupakan persengketaan mereka selepas kumpulan itu memutuskan untuk memulaukan pemilihan parti, dengan mendakwa berlaku kejanggalan dalam pemilihan itu.

Kumpulan terbabit kemudian membuat laporan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS), dengan mendakwa berlaku kejanggalan dalam pemilihan parti di peringkat cawangan sebelum berlangsungnya persidangan perwakilan tiga tahun sekali (TDC) parti itu tahun lepas.

Ketika ROS masih menyiasat aduan itu, kumpulan Chin menghulurkan salam perdamaian kepada kumpulan Wong pada mulanya, apabila timbalan presiden yang baru dilantik, Datuk Richard Riot berkata beliau sedia melepaskan jawatannya dalam parti untuk memberi ruang kepada pemimpin daripada kumpulan Wong.

Bagaimanapun, hasrat ini ditolak.

Chin turut mempelawa kumpulan Wong untuk menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti Jumaat ini, namun pelawaan itu turut ditolak kumpulan berkenaan, memandangkan mereka mahu menunggu keputusan ROS terlebih dahulu sebelum merangka langkah selanjutnya.

Beberapa penganalisis politik berkata kedua-dua kumpulan itu berkemungkinan besar tidak akan menyelesaikan perselisihan mereka, melainkan berlaku campur tangan langsung daripada kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN).

"Tidak mudah bagi mereka yang berbalah untuk berbaik-baik semula, melainkan ada kesediaan yang sangat tinggi untuk bekerja bersama-sama. Sebenarnya perkara ini pernah berlaku kepada parti seperti SNAP dan PBDS. Jika tidak, ia adalah sukar," kata penganalisis politik di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Stanley Bye Kadam Kiai.

Beliau berkata usaha untuk berdamai lebih sukar daripada yang dijangkakan sebelum ini, memandangkan kumpulan Wong sebahagian besarnya terdiri daripada Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dan seorang Anggota Parlimen, yang menurutnya, "memegang kuasa tawar menawar yang boleh menetapkan syarat."

Kumpulan Wong terdiri daripada enam Adun dan seorang Anggota Parlimen: Wong (Bawang Assan), Datuk Lee Kim Shin (Senadin), Datuk Francis Harden Hollis (Simanggang), Dr Jerip Susil (Bengoh), Ranum Mina (Opar) dan Dr Johnical Rayong Ngipa (Engkilili).

Anggota Parlimen tunggal dalam kumpulan itu ialah Datuk Tiong Thai King (Lanang).

"Pada masa ini, tidak ada harapan lagi, melainkan mereka dapat berbincang bersama-sama. Keenam-enam wakil rakyat itu berada dalam kedudukan yang baik untuk membuat perjanjian kerana mereka boleh menyertai parti lain jika kumpulan Chin tidak mahu berkompromi," katanya.

Sumber dalaman parti itu turut menarik perhatian bahawa jika kedua-dua pihak meneruskan perbalahan mereka, sukar bagi parti berusia 50 tahun yang dikuasai kaum Cina itu untuk mengekalkan kerusi yang diperuntukkan kepada parti berkenaan, malah lebih sukar untuk memenangi semula kerusi yang terlepas daripada tangan mereka.

"Jika kedua-dua puak tidak berdamai dan terus membawa haluan masing-masing, ia akan mengakibatkan berakhirnya SUPP," kata sumber dalaman parti kepada Bernama.

SUPP telah diberi tujuh kerusi Parlimen di Serian, Stampin, Bandar Kuching, Sibu, Lanang, Sarikei dan Miri. Dua daripadanya, Bandar Kuching dan Sibu, kini beralih kepada parti pembangkang, DAP.

Beberapa anggota akar umbi parti mendakwa bahawa Chin dan pasukan barunya tidak melakukan usaha bersungguh-sungguh untuk mengubati luka ekoran persaingan sengit jawatan semasa pemilihan di peringkat cawangan.

Mereka berkata Chin tidak mengambil sebarang usaha untuk berhubung dengan puak yang berseteru dengannya.

Bagaimanapun, seorang penganalisis di Institut Pengajian Asia Timur di Unimas, Dr Awang Azman Awang Pawi percaya kedua-dua pihak boleh berbaik-baik semula jika kumpulan Wong tidak bersikap 'jual mahal.'

Sehubungan itu, beliau berpendapat isu itu akhirnya perlu ditangani oleh kepimpinan tertinggi BN di peringkat negeri dan pusat.

"Nampaknya seperti hanya campur tangan oleh kepimpinan tertinggi BN dapat menyelesaikan isu ini. Jika tidak, saya tidak fikir mereka boleh memperbetulkan keadaan," katanya.

Jika ini juga gagal, katanya, pembatalan pendaftaran SUPP berikutan aduan kejanggalan dalam pemilihan di peringkat cawangan parti itu mungkin merupakan satu jalan keluar. - BERNAMA

Artikel Lain