suria

Seorang Maut, Lima Cedera Nahas Lori dan Jip

KUANTAN: Seorang lelaki maut, manakala lima lagi cedera selepas pacuan empat roda yang dinaiki merempuh sebuah lori membawa muatan kelapa sawit yang terbalik di tengah jalan di Km 20 Jalan Chini-Kuantan, dekat Pekan, Rabu.

Basin Mion, 59, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Chini. Semua mangsa yang cedera berusia lingkungan 18 hingga 30-an turut dirawat di klinik terbabit.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata kejadian berlaku 10.40 malam itu, apabila sebuah lori membawa kelapa sawit dari arah Muadzam Shah menuju ke Chini terbabas ke tepi jalan ketika mengelak sebuah kenderaan dari arah bertentangan yang masuk ke laluannya.

"Pemandu lori berkenaan, Tai Sin Chung, 38, yang memandu sendirian cuba mengelak dari bertembung dengan kenderaan terbabit menyebabkan lorinya terjatuh di bahu sebelah kiri jalan.

"Ketika cuba naik semula ke atas jalan, lori yang dipandunya terbalik dan buah kelapa sawit yang dibawanya turut jatuh berselerak di atas jalan.

"Jip yang dinaiki mangsa bersama lima penumpang terbabit dari arah yang sama tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian tengah lori berkenaan," katanya di sini.

Mohamed Fauzi berkata akibat rempuhan itu mangsa yang memandu jip tersebut, mengalami kecederaan teruk di kepala.

"Pemandu lori muatan kelapa sawit tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Beliau berkata kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - BERNAMA

Artikel Lain