suria

Sampel Tanah Daripada Dua Kenderaan Mungkin Tercemar - Saksi

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mendengar perbicaraan kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain, diberitahu sampel tanah yang diambil daripada dua kenderaan yang ditemui di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Banting, mungkin tercemar.

Bekas Pegawai Bantuan Teknik D10 Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor Insp (B) Ooi Chiew Peng memberitahu mahkamah beliau bersetuju sampel tanah daripada tayar dan penampan lumpur kenderaan Honda Prelude bernombor pendaftaran QC575 dan Isuzu D-Max WSF8707, mungkin tidak mempunyai nilai sebagai bahan bukti.

Saksi ke-84 pendakwaan itu berkata demikian semasa memberi keterangan pada perbicaraan kes bekas peguam N.Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang T.Thilaiyalagan, R.Matan dan R.Khatavarayan yang dituduh membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44. Pathmanabhan, 43, Thilaiyalagan, 21, Matan, 22, dan Kathavarayan, 32, dituduh melakukan kesalahan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010, dan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. Ooi disoal balas peguam bela Matan, Amer Hamzah Arshad yang bertanya sama ada sampel yang beliau ambil daripada kedua-dua kenderaan itu pada 17 September 2010 mungkin sudah tercemar berbanding jika ia diambil ketika Ooi memeriksa kedua-dua kenderaan itu untuk kali pertama, pada 10 September 2010.

Ditanya Amer Hamzah bagaimana dua kenderaan itu dijaga supaya tanah yang melekat padanya tidak tercemar, Ooi berkata, kedua-dua kenderaan itu disimpan di dalam garaj. Ooi juga berkata, beliau tidak bertanggungjawab secara peribadi dalam penjagaan kenderaan terbabit.

Ditanya jenis tanah yang ditemui di kawasan ladang di mana kedua-dua kenderaan itu berada, Ooi berkata hanya pasir, dan beliau tidak mengambil sampel tanah pada penampan lumpur pada kenderaan berkenaan pada 10 September.

Semasa disoal balas peguam bela Patmanabhan, Manjeet Singh Dhillon, Ooi berkata, beliau memeriksa dan mengambil sampel tanah pada kedua-dua kenderaan itu pada 17 September 2010 di atas tanah di bengkel kenderaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, Banting.

Beliau juga bersetuju dengan soalan Manjeet bahawa beliau tidak tahu bagaimana dan bila kedua-dua kenderaan itu dibawa ke bengkel kenderaan tersebut.

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin, Ooi berkata, beliau datang ke IPD di Banting bagi memeriksa kedua-dua kenderaan itu selepas diminta pegawai penyiasat kes, ASP P.Visvanathan pada 17 September 2010.

Di situ, beliau mengambil sampel tanah pada penampan lumpur pada keempat-empat tayar kenderaan serta mengambil sampel pada stereng dan tombol gear menggunakan putik kapas pada kenderaan terbabit.

Ketika pemeriksaan semula oleh Saiful Edris, Ooi berkata beliau mengambil beberapa bahan bukti yang ditemui dalam plastik biru serta 14 helai rambut pada 10 September 2010. Tetapi beliau tidak menyatakan daripada kenderaan mana bahan-bahan bukti itu ditemui.

Antara yang ditemui di dalam plastik biru itu ialah sehelai resit Affin Bank (dengan nama Shafiq Davindran Abdullah), sehelai resit Hotel Comfort, sehelai resit dari Ruby Fine, sekeping bil elektrik dan sehelai salinan fotokopi sijil pelantikan polis.

Turut ditemui satu salinan laporan perubatan (Grace Gomez), sekeping pasport antarabangsa Filipina (dengan nama Grace Gomez), satu salinan pasport dan sekeping borang di bawah Akta Syarikat 1965 (dengan nama Healthcare Paradise Sdn Bhd), katanya.

Pendakwaan turut memanggil Kpl R.Rameshwaran, 44, yang bertugas sebagai detektif D10 di IPK Selangor bagi mengesahkan lakaran kasar kenderaan-kenderaan yang diperiksa Ooi pada 10 September, 16 September dan 17 September 2010.

Selain Rameshwaran, Pengarah Forensik Jabatan Kimia, Lim Kong Boon, 57, turut dipanggil memberi keterangan dan mengesahkan beberapa barang bukti yang diterimanya daripada pegawai penyiasat ASP Ishak Yaacob pada 15, 17 dan 22 September 2010.

Hakim Datuk Akhtar Tahir kemudian menangguhkan perbicaraan yang akan disambung semula pada 25 Januari. - BERNAMA

Artikel Lain