suria

Polis Perak Sasar Kadar Jenayah Turun 20 Peratus

IPOH: Polis Perak menyasarkan penurunan kadar jenayah sebanyak 20 peratus tahun ini berbanding 12.8 peratus tahun lepas dengan memberi tumpuan kepada meningkatkan usaha mengekang jenayah jalanan.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata sasaran itu jauh melepasi sasaran kerajaan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang menetapkan penurunan jenayah sebanyak lima peratus setiap tahun.

Beliau berkata tindakan mengurangkan kes jenayah jalanan dilakukan dengan menggiatkan usaha rondaan khususnya di kawasan 'panas' dan juga kawasan perumahan bagi mengelak kejadian ragut dan pecah rumah.

"Bagi jenayah jalanan, kita meletakkan sasaran penurunan 50 peratus manakala bagi kes-kes jenayah lain sasaran penurunan adalah 40 peratus," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, Khamis.

Shukri berkata bahawa tahun lepas, polis Perak menerima 9,869 laporan melibatkan pelbagai kes jenayah berbanding 11,318 pada 2010.

"Kadar indeks jalanan seperti kes ragut, pecah rumah dan sebagainya menampakkan penurunan iaitu sebanyak 8.54 peratus dengan 1,445 kes dilaporkan tahun lepas berbanding 1,580 kes pada 2010," katanya.

Sebanyak 1,718 laporan pula melibatkan kes penipuan, pecah amanah dan peminjam wang haram berbanding 1,754 kes bagi tahun 2010.

Bagaiamanpun, kes kemalangan jalan raya meningkat kepada 33,506 berbanding 32,360 pada 2010. - BERNAMA

Artikel Lain