suria

Pencapaian Pelajar Terengganu Dalam Ujian MUET Memuaskan

KUALA TERENGGANU: Hasil keputusan calon dari Terengganu yang menduduki Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET), sebagai syarat bagi memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di peringkat ijazah adalah memuaskan.

Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksasan Pejabat Pelajaran Terengganu, Ahmad Shukor Mansor berkata seramai 1,474 calon yang kebanyakannya merupakan pelajar Tingkatan Enam Atas menduduki ujian pada 19 Nov lepas.

Beliau berkata seramai 612 calon (42 peratus) lulus peringkat Band Satu, 652 calon (44,75 peratus) Band Dua, 168 calon Band Tiga dan hanya 25 calon (1.72 peratus) Band Empat.

Sementara tiada calon yang memperolehi Band Lima dan Band Enam iaitu taraf paling cemerlang.

Ahmad Shukor berkata calon yang memperoleh Band Satu sudah memadai untuk memohon kemasukan ke IPTA bagi pengajian peringkat Sarjana Muda.

Beliau juga berkata MUET diadakan dua kali setahun iaitu pada Julai dan November, tetapi mulai tahun ini ia akan diadakan sebanyak tiga kali iaitu pada Mac, Julai dan November. - BERNAMA

Artikel Lain