suria

PAS Terbuka Jika Hasan Rayu - Mahfuz

PETALING JAYA: PAS terbuka sekiranya Datuk Dr Hasan Ali mahu mengemukakan rayuan berhubung keputusan parti itu memecat keahlian beliau yang berkuat-kuasa Ahad lalu.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut namun ia bergantung kepada kepimpinan PAS Pusat untuk membuat pertimbangan.

"Kita terbuka kalau beliau mahu kemukakan rayuan, tapi ia bergantung kepada keputusan PAS Pusat," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Beliau mengulas mengenai saranan terbuka Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din yang meminta Hasan membuat rayuan berhubung pemecatan itu.

Menurut Haron, Hasan mempunyai tempoh 30 hari untuk mengemukakan rayuan.

Sementara itu ditanya sama ada PAS Pusat sudah menamakan pengganti bagi jawatan Exco Kerajaan Negeri Selangor yang disandang Hasan ketika ini, Mahfuz berkata perkara tersebut masih belum diputuskan.

"Kita lihat perkembangannya nanti, ia bergantung kepada Presiden PAS," katanya sambil mengesahkan bahawa surat rasmi pemecatan telah dihantar kepada Hasan.

Sementara itu mengulas mengenai kesan pemecatan Hasan kepada hubungan PAS dalam Pakatan Rakyat, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata perkara itu tidak akan menjejaskan hubungan parti pembangkang yang terjalin sejak 2008.

"Keputusan telah dibuat, PAS dan Pakatan Rakyat akan terus kukuh dalam menggerakkan perjuangan kita kepada rakyat Malaysia," katanya.

Mesyuarat ahli jawatankuasa kerja PAS pusat membuat keputusan memecat Hasan, Ahad lalu berdasarkan Fasal 82(9) Perlembagaan parti.

Kontroversi membabitkan Hasan bermula apabila beliau bersetuju dengan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membuat pemeriksaan terhadap sebuah gereja di Damansara tahun lalu yang disyaki memurtadkan beberapa orang Islam.

Ekoran tindakan tersebut, Hasan menerima kecaman daripada pihak-pihak tertentu, khususnya pakatan pembangkang iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Hasan turut menjadi tumpuan apabila beliau mempertikaikan perubahan perjuangan PAS daripada negara Islam kepada negara berkebajikan sehinggakan beliau menjadi sasaran pemimpin tertinggi PAS yang menuduhnya diperalatkan oleh Umno.

Pada 7 Januari lalu, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali turut mendesak PAS bertanggungjawab terhadap kenyataan Hasan yang menyeru agar rakyat tidak menyertai perhimpunan ‘Bebaskan Anwar 901’ yang diadakan pada Isnin lalu.

Artikel Lain