suria

Model Baru Sosial Akan Dibentuk Untuk Mantapkan Dasar Sosial Negara

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan memperkenalkan Model Baru Sosial bagi memantapkan Dasar Sosial Negara dalam usaha meningkatkan lagi kualiti hidup rakyat.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, model itu juga diharap dapat menangani masalah sosial yang semakin mencabar terutamanya di kalangan golongan muda.

"Dasar yang ada memang amat bagus tapi ia mungkin perlu diolah sedikit kerana cabaran hari ini pelbagai...kalau cabaran dah lain, memang menjadi tanggungjawab kementerian untuk menilai semula dasar itu," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Pembentukan Model Baru Sosial di sini, Khamis.

Konvensyen dua hari itu, yang bermula semalam, dihadiri 350 wanita daripada pelbagai kumpulan termasuk suri rumah, wanita berkerjaya dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Shahrizat berkata, kementerian akan mendapatkan cadangan dan pandangan daripada pelbagai pihak termasuk NGO, ahli akademik serta orang awam sebelum memuktamadkan model itu.

Menurutnya, semua maklum balas yang diperoleh akan diteliti oleh pasukan bertindak khas dipengerusikan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur, sebelum ia diserah kepada Mesyuarat Sosial Kebangsaan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dibentang ke kabinet.

Dalam perkembangan lain, Shahrizat berkata, mesyuarat Kabinet semalam bersetuju dengan cadangan kementerian untuk mewujudkan Kerusi Kepimpinan Wanita di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau berkata, keputusan itu merupakan pengiktirafan kepada wanita yang layak mendapat tempat tertinggi dalam semua bidang sesuai dengan kelayakan yang dimiliki.

Pembentukan kerusi itu juga diharap dapat memberi motivasi kepada wanita berpotensi dalam kepimpinan untuk berusaha ke tahap lebih tinggi.

"Kerjasama dengan UKM akan memungkinkan kita menggilap potensi wanita yang layak untuk menjadi pemimpin yang bagus selain melahirkan wanita intelektual," katanya. Cadangan mewujudkan kerusi itu dikemukakan pada Konvensyen Wanita Umno dua tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Lain