suria

Dua Buah KR1M Dibuka Di Negeri Sembilan Setakat Ini

SEREMBAN: Dua buah 'Kedai Rakyat 1Malaysia' (KR1M) telah beroperasi di Negeri Sembilan setakat ini, kata pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Sembilan, Mohd Talal Abu Bakar.

Katanya kedai KR1M yang pertama di negeri ini terletak di Port Dickson Gateway, Bandar Sunggala, Port Dickson yang dibuka pada 16 Nov lepas manakala terbaru dibuka pada Khamis di kawasan perusahaan Dioh, Kuala Pilah.

"Berapa banyak lagi KR1M yang akan dibuka di negeri ini bergantung kepada keputusan pihak pengurusan KR1M iaitu Mydin. Setakat ini, kita telah membuat lawatan tapak ke 39 lokasi di seluruh negeri ini. Keputusan membuka KR1M ini juga bergantung kepada kesesuaian lokasinya. Tidak semua kawasan sesuai dan ia bergantung kepada banyak faktor," katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Mohd Talal berkata di antara kawasan yang dikenal pasti sesuai ialah Nilai, Ampangan dan Senawang manakala dua KR1M yang sedang dalam pembinaan ialah di Bandar Springhill, Port Dickson dan Pekan Lukut.

"Kita juga akan membuka KR1M di daerah dan satu kawasan yang dikenal pasti ialah di Simpang Durian, Jelebu. Kita akan terus mencari lokasi sesuai untuk KR1M di negeri ini seiring dengan hasrat kerajaan untuk meringankan beban rakyat berpendapatan rendah," katanya.

KR1M, projek usahasama kerajaan dan Mydin, merupakan sebuah kedai yang berkonsepkan pasar mini yang menjual pelbagai barangan keperluan asas dengan harga yang rendah bagi membantu meringankan beban rakyat Malaysia. - BERNAMA

Artikel Lain