suria

SPAD Beri Lampu Hijau Kepada Monorel Melaka Sambung Operasi Semula

MELAKA: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah menarik balik larangan operasi ke atas perkhidmatan monorel Melaka selepas dihentikan pada November tahun lalu.

Ketua Pegawai Operasi SPAD, Azhar Ahmad berkata, para jurutera dari KL Monorail dan SPAD sendiri telah menjalankan pemeriksaan dan pemerhatian mendalam ke atas operasi monorel Melaka itu mereka berpuas hati dengan tahap keselamatan dan kecekapan perkhidmatan itu.

Monorel Melaka diurus dan dikendalikan oleh Menara Taming Sari Sdn Bhd.

"Kami telah pun menghantar surat kebenaran operasi minggu lalu kepada mereka. Bagaimanapun, kami masih mengenakan syarat iaitu perkhidmatan itu mestilah dihentikan ketika hujan," katanya ketika dihubungi.

Monorel yang dibina khas untuk tujuan pelancongan itu sebelum ini telah dihentikan perkhidmatan sebanyak dua kali atas arahan SPAD selepas berhadapan dengan masalah teknikal.

Masalah itu ada kaitan dengan aspek-aspek keselamatan utama penumpang dan SPAD mengarahkan supaya pihak operator menghubungi semula pembuat monorel itu dari China untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Sehubungan dengan itu, seorang jurutera dari Unis Technology Co. Ltd, China telah ditempatkan di sini untuk memantau operasi monorel berkenaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam sebelum ini telah berkata bahawa kerajaan negeri bersetuju untuk melantik seorang jurutera pemantau atas nasihat SPAD untuk memberi nasihat teknikal kepada pengendali tempatan.

Mohd Ali juga memberi jaminan bahawa pelantikan itu merupakan satu lantikan jangka panjang kerana kerajaan negeri bercadang untuk menyambung laluan trek monorel itu dari 1.6km sekarang kepada tiga kilometer lagi.

Perkhidmatan monorel itu telah tergendala tidak kurang daripada 21 kali sejak ia mula beroperasi Oktober 2010.

Projek bernilai RM15.9 juta itu menghubungkan Taman Rempah di Pengkalan Rama ke Kampung Bunga Raya Pantai melalui sepanjang Sungai Melaka yang popular itu.

Artikel Berikut

Artikel Lain