suria

Rumah Terbakar, Lapan Sekeluarga Tinggal Sehelai Sepinggang

ALOR SETAR: Lapan sekeluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah kayu dua tingkat yang mereka diami di Lorong Nyor Stali, Jalan Pegawai di sini musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira 8.30 pagi ini.

Penghuni rumah, Mohd Zaki Jaafar, 45, berkata, ketika kejadian dia sedang memasak nasi lemak di dapur untuk dijual manakala anak lelakinya berusia 14 tahun sedang tidur di ruang tamu rumah.

Katanya, ketika berada di dapur, dia terdengar bunyi dari atas rumah dan apabila pergi ke tangga, dia nampak api sedang marak dari tingkat atas rumah.

"Saya terus kejutkan anak saya, Mohd Afiq, yang sedang tidur dan kami terus keluar rumah. Kami tak sempat nak selamatkan apa-apa kerana api marak dengan cepat," katanya ketika ditemui pemberita di sini, Rabu.

Katanya, dia hanya sempat mengangkat sebuah tong gas manakala sebuah lagi tong gas tidak sempat diangkat dan meletup.

Mohd Zaki berkata, dia dan anaknya tidak sempat menyelamatkan wang tunai kira-kira RM2,300 hasil jualan nasi lemak selain wang kepunyaan adiknya kerana api marak begitu cepat.

"Kami tidak memikirkan lagi untuk tidur di mana malam ini. Kami harap ada yang sudi membantu meringankan beban kami sekeluarga kerana kami memang tidak mempunyai apa-apa sekarang ini," katanya yang menyewa di rumah itu kira-kira lapan tahun bersama isteri, empat anak dan dua adik.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja Md Noor Daud berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 8.47 pagi dan tiga jentera iaitu satu dari Jalan Raja dan dua dari Jalan Tun Razak bergegas ke tempat kejadian.

"Seramai 14 anggota bertungkus lumus memadam api supaya tidak merebak ke rumah lain yang terletak terlalu dekat. Api dapat dikawal kira-kira pukul 8.59 pagi dan padam sepenuhnya kira-kira pukul 9.26 pagi," katanya.

Beliau berkata, punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain