suria

Polis Kota Setar Lupus 130 Mesin Judi

POKOK SENA: Polis Daerah Kota Setar hari ini melupuskan 130 set komputer yang telah diubahsuai menjadi mesin judi yang dirampas dalam Ops Dadu Mesin Judi sepanjang tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berkata set-set komputer itu dilupuskan setelah mendapat arahan mahkamah.

"Terdapat banyak lagi set komputer yang kita rampas masih belum dilupuskan. Kita menunggu arahan daripada mahkamah untuk melupuskan baki mesin-mesin tersebut," katanya kepada pemberita selepas melupuskan set komputer berunsurkan perjudian di Tapak Pelupusan Sampah di Jabi dekat sini, Selasa.

Beliau berkata pada tahun lepas, sebanyak 416 serbuan dilakukan oleh anggotanya di sekitar daerah Kota Setar dan daripada serbuan itu, pihaknya merampas 2,498 set komputer yang telah diubahsuai menjadi mesin judi.

"Jumlah rampasan yang dibuat itu meningkat sebanyak 656 peratus berbanding tahun 2010," katanya.

Adzaman berkata pada tahun lepas, pihaknya membuat 109 serbuan dan merampas 381 set komputer yang telah diubahsuai.

"Kita akan menggiatkan lagi operasi untuk merampas lebih banyak lagi set komputer tersebut dan seterusnya membanteras gejala sosial di sekitar bandar raya ini," katanya.

Beliau berkata kes-kes yang melibatkan set komputer itu disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997.

"Setiap set komputer itu bernilai kira-kira RM200 dan nilai yang kita lupus hari ini adalah kira-kira RM26,000," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain