suria

Lelaki Dipercayai Warga Indonesia Ditemui Mati Dengan Kesan Tetakan

SHAH ALAM: Mayat seorang lelaki, dipercayai warga Indonesia, ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan beberapa kesan tetakan di badannya di tepi jalan berhampiran Jalan Kebun, Batu 7 1/2, Kuala Langat, malam Selasa.

Mayat mangsa berusia lingkungan 30-an dengan berpakaian jaket hitam dan berseluar ditemui kira-kira pukul 8 malam oleh orang awam yang melalui kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Nordin Manan berkata pemeriksaan awal mendapati mangsa ditetak dengan objek tajam di bahagian leher, perut dan pinggang.

"Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada tubuhnya, namun terdapat sebuah motosikal Honda Dash berwarna merah putih ditinggalkan kira-kira dua atau tiga meter dari lokasi mayat ditemui," katanya ketika dihubungi di sini, Rabu.

Beliau berkata semakan ke atas kenderaan itu menunjukkan ia didaftarkan atas nama seorang warga Indonesia dikenali sebagai Rianto yang beralamat di Seksyen 26, Shah Alam.

Katanya pihaknya masih belum mengenal pasti motif pembunuhan namum tidak menolak kemungkinan berlaku pergaduhanan sebelum mangsa dibunuh.

Mayat mangsa dibedah siasat di Hospital Banting dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain