suria

Klinik Kulit Tanpa Lesen Di P.Pinang Diarah Henti Operasi

GEORGE TOWN: Sebuah klinik kulit dan laser di Jalan Kelawai di sini diarah menghentikan perkhidmatannya kerana beroperasi tanpa lesen.

Jurucakap Unit Kawalan Amalan Perubatan Swasta (UKAPS) di bawah Kementerian Kesihatan hari ini berkata arahan itu dikeluarkan selepas klinik itu diserbu 4 petang tadi oleh sepasukan anggota UKAPS diketuai Inspektor Kementerian Kesihatan, Jasni Turiman.

"Kes ini diklasifikasikan di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) yang menyebut bahawa menjadi suatu kesalahan bagi mana-mana klinik beroperasi tanpa berdaftar di bawah akta tersebut," kata jurucakap itu kepada pemberita di sini, Rabu.

Para pegawai UKAPS juga merampas beberapa dokumen dan peralatan perubatan dari klinik itu sebelum membuat laporan polis petang ini, kata jurucakap itu.

Jurucakap itu turut menasihati orang ramai supaya mendapatkan rawatan di klinik dan hospital bertauliah bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

Klinik itu dipercayai mula beroperasi beberapa bulan lepas dan mendakwa memiliki kepakaran dalam rawatan laser kulit, estetik dan dermatologi.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Kesihatan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang Phee Boon Poh ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain