suria

Kalimullah Dan Chang Capai Penyelesaian Berhubung Saman

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan Datuk Seri Kalimullah Masheerul Hassan dan peguam Matthias Chang Wen Chieh hari ini mencapai penyelesaian secara baik masing-masing berhubung satu saman fitnah RM50 juta dan tuntutan balas RM150 juta.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Asmabi Mohamed merekodkan terma penyelesaian dalam kamar antara Kalimullah yang diwakili Prakash Menon dan Chang, yang diwakili Datuk R.K. Nathan.

Nathan memberitahu pemberita beliau membacakan kenyataan penyelesaian itu.

Beliau berkata plaintif dan defendan telah berterus terang menarik diri dan menarik balik semua dakwaan berhubung saman-saman memandangkan tiada perintah dan juga kos.

Nathan berkata dengan persetujuan bersama plaintif (Kalimullah) dan defendan (Chang) telah mencapai penyelesaian secara baik.

Beliau berkata defendan telah berterus terang menarik diri dan menarik balik semua dakwaan yang dibuatnya terhadap Kalimullah pada satu sidang akhbar yang diadakan pada 13 Jun, 2006 dan memohon maaf kepadanya dan ECM Libra bagi sebarang rasa malu ke atasnya.

"Plaintif (Kalimullah) menarik diri dan menarik balik semua dakwaan yang dibuat berhubung artikelnya pada 11 Jun, 2006 dalam New Sunday Times mengenai pertemuan perdana menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan Tun Dr Mahathir Mohamad di Jepun dan dengan itu juga memohon maaf kepada Tun Dr Mahathir atas apa jua rasa malu," katanya.

Sementara itu, Chang memberitahu pemberita bahawa beliau merasakan telah membuktikan kewajaran memandangkan Kalimullah secara terus terang memohon maaf atas semua dakwaan ke atas Dr Mahathir dalam artikelnya.

Kalimullah juga berkata bahawa beliau gembira kerana dakwaan itu telah ditarik balik dan begitu juga permohonan maaf yang dibuat oleh defendan.

"Saya, keluarga saya dan rakan-rakan, telah melalui pelbagai tekanan dan dalam keadaan dures berikutan dakwaan tidak berasas ini," katanya.

"Saya terima permohonan maaf ini dengan fikiran terbuka dan mahu meneruskan kehidupan. Ini sepatutnya tidak berlaku dan saya gembira ianya telah berakhir," kata Kalimullah.

Kalimullah memfailkan saman fitnah pada 29 Jun, 2006 selepas Chang didakwa mengeluarkan kenyataan terhadapnya pada 13 Jun, tahun yang sama, pada satu sidang akhbar, satu laporan yang mana diterbitkan dalam The Straits Times Singapura melalui korespondennya di Malaysia, Leslie Lau.

Chang, yang sebelum ini merupakan setiausaha politik Dr Mahathir, juga memfailkan tuntutan balas terhadap Kalimullah pada 14 Julai, 2006, antara lain menuntut ganti rugi RM150 juta.

Penyelesaian itu timbul semasa saman itu masih didengar di mahkamah dengan pendengaran dijadual diteruskan, Selasa.

Sebelum ini, mahkamah mendengar testimoni Kalimullah, manakala defendan masih belum mengemukakan kesnya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain