suria

Isu Seleweng Wang Zakat MAIWP: Nik Nazmi Akan Buat Laporan Polis Khamis

PETALING JAYA: Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad akan membuat laporan polis pada Khamis berhubung dakwaan mengenai penyelewengan wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang membabitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata, PKR memandang serius terhadap penyalahgunaan institusi penting umat Islam ini.

“Saya mewakili Keadilan akan membuat laporan polis esok pada pukul 11 pagi di Balai Polis Dang Wangi berkaitan dengan kes salah guna wang zakat ini,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat PKR di sini, Rabu.

Nik Nazmi berkata, beliau akan menyerahkan dokumen-dokumen berkenaan sebagai bukti sewaktu membuat laporan berhubung dakwaan itu di balai polis.

Bukti itu merupakan set dokumen yang diperolehi daripada pegawai MAIWP yang menyerahkannya atas rasa tanggungjawab dan merasakan perkara tidak betul berlaku.

"Dokumen ini termasuk baucar bayaran bernombor 2010B04112 bertarikh 29 April 2010 sebanyak RM32,150.

"Baucar tersebut secara terang merakamkan kumpulan wang yang digunakan merupakan kumpulan wang zakat," katanya.

Dokumen kedua pula merupakan surat daripada Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Negara, Datuk Azmi Khalid yang mengesahkan bahawa RM63,650 wang zakat digunakan bagi membayar kos guaman MAIWP.

Jumlah tersebut meliputi bayaran pertama sebanyak RM31,500 pada 9 Februari 2010 dan RM32,150 yang tercatat di dalam baucar tersebut.

“Saya berharap pihak yang bertanggungjawab akan dapat menjawab tentang dokumen-dokumen ini. Dan pihak polis dapat menjalankan siasatan secara profesional,” katanya lagi.

Artikel Berikut

Artikel Lain