suria

Guna BPA, Bukan Saluran Politik Lapor Salah Guna Kuasa - Taib

KUCHING: Kerajaan telah menubuhkan Biro Pengaduan Awam (BPA) sebagai saluran untuk orang awam membuat laporan mengenai sebarang penyelewengan atau salah guna kuasa dalam perkhidmatan awam, kata Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Orang ramai sepatutnya sedar BPA merupakan saluran yang lebih boleh dipercayai dan berkecuali untuk mengemukakan aduan mereka daripada menggunakan saluran politik, katanya semasa berucap melancarkan Hari Integriti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak di sini, Rabu.

Beliau juga berkata kerajaan telah mengenal pasti rasuah sebagai ancaman utama terhadap kesejahteraan negara dan tanggungjawab memeranginya telah disenaraikan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Ketua Menteri berkata kerajaan negeri juga telah mengguna pakai dan melaksanakan Arahan Perdana Menteri No. 1/2009 untuk meningkatkan integriti pengurusan pentadbiran kerajaan di Sarawak.

"Indeks Transparency International (Persepsi Rasuah) mungkin hanyalah persepsi mengenai pihak lain fikir atau beri penarafan kepada kita, tetapi sekurang-kurangnya kita tahu di mana kedudukan kita supaya kita boleh mengambil langkah pembaikan untuk mengatasi kelemahan kita," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain