Dua Lelaki Ditembak Mati Di Wangsa Maju Dipercayai Anggota Geng Mamak - Semasa | mStar

Dua Lelaki Ditembak Mati Di Wangsa Maju Dipercayai Anggota Geng Mamak

KUALA LUMPUR: Dua lelaki yang mati selepas berbalas tembakan dengan polis susulan cubaan menyamun seorang wanita di hadapan sebuah bank di Wangsa Maju di sini, Selasa, dipercayai saki baki kumpulan Geng Mamak.

"Daripada gambaran yang diberikan saksi, kami melihat kepada beberapa suspek dari sindiket yang sama," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah menerusi sistem pesanan ringkas kepada Bernama, Rabu.

Ku berkata kedua-dua mereka, dan seorang lagi yang berjaya melarikan diri dalam kejadian itu, dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 15 kes samun bank dan jenayah lain di Selangor.

"Dalam 15 kes samun itu, kita percaya anggaran kerugian melibatkan kira-kira RM1.1 juta," katanya.

Polis dalam pada itu sedang menjejaki lelaki yang melarikan diri dan dipercayai cedera dalam kejadian itu.

"Hasil keterangan saksi, kita percaya suspek itu turut cedera terkena tembakan polis semalam. Dia juga dilihat melarikan diri bersama senjata api yang digunakan untuk berbalas tembakan dengan polis," katanya.

Sementara itu, Ku berkata suspek lelaki berumur 35 tahun yang mati ditembak dalam kejadian tersebut mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan samun dan curi.

"Pada hari ini baru kita dapat pengesahan bahawa lelaki itu mempunyai lima rekod lampau. Semalam, kita mengesahkan rakannya berumur 45 tahun mempunyai rekod lampau atas kesalahan yang sama serta dikehendaki dalam lima kes di ibu negara dan Kelantan," katanya.

Ku berkata polis turut mengesahkan kad pengenalan yang ditemui pada kedua-dua suspek adalah milik mereka sendiri dan kereta itu pula didaftarkan atas nama orang lain.

Kejadian pukul 2.50 petang itu berlaku selepas polis menerima laporan satu kejadian samun di hadapan bank berkenaan dan menghantar kereta peronda yang berjaya mengesan serta mengejar kereta Proton Putra yang dilihat dalam keadaan mencurigakan dan memecut laju di kawasan tersebut.

Suspek dikatakan melancarkan tembakan ke arah polis sebelum memaksa pasukan anggota keselamatan membalas tembakan.

Kereta yang mereka naiki kemudian terbabas dan melanggar sebuah kereta lain di Jalan Madrasah, berhampiran Stesen LRT Putra Taman Melati, tidak jauh dari lokasi berbalas tembak dengan polis.

Polis yang tiba di lokasi itu mendapati dua lelaki yang duduk di tempat pemandu dan kerusi penumpang di sebelahnya mati. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

Artikel Lain