suria

Anwar Tidak Mahu Singkap Kembali Masalah Lalu

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang kini sedang berada di India berkata beliau ingin melupakan episod hitam yang telah melanda dirinya dan tidak berhasrat untuk menyingkap kembali permasalahan lalu. Beliau juga enggan lagi memberikan sebarang tafsiran mengapakah penghakiman mengejutkan ini (keputusan yang mendapati beliau tidak bersalah dan dibebaskan) berlaku.

"Saya dan Azizah tiba di Mumbai dan menuju Panchgani sebagai tetamu kepada sahabat lama, Rajmohan Gandhi, penyala obor perjuangan datuknya, pejuang besar India Mahatma Gandhi.

"Lebih tiga bulan lalu saya berjanji untuk bersama beliau menyemarakkan semangat perjuangan Gandhi bagi menegakkan demokrasi yang mempedulikan nasib rakyat serta menolak kezaliman dan rasuah.

"Sepanjang dalam perjalanan selama tiga jam, saya menerima ribuan panggilan telefon, mesej dari Twitter dan Facebook, komen di blog serta SMS dari pelbagai lapisan masyarakat Malaysia dan dunia yang menyatakan kesyukuran dan rasa gembira (dengan keputusan mahkamah)," katanya dalam tulisan yang disiarkan dalam portal berita Malaysian Insider pada Selasa.

Pada Isnin, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membebaskan Anwar daripada sebarang pertuduhan liwat setelah mendapati, bukti DNA yang dikemukakan tidak cukup untuk mensabitkan beliau dan tidak dapat dipastikan bahawa DNA itu tidak dicemari.

Kata Anwar, beliau bersyukur kerana setelah sekian lama difitnah dan diaibkan, Hakim Datuk Zabidin Mohd Diah memutuskan — berlandaskan undang-undang dan fakta — bahawa dakwaan seseorang tanpa saksi dan sebarang bukti sokongan adalah tidak dapat diterima.

"Saya tidak berhasrat menyingkap permasalahan lalu atau memberikan sebarang tafsiran mengapa penghakiman mengejutkan ini berlaku. Walaubagaimanapun, saya bersyukur ke hadrat Allah Azzawajalla kerana saya bebas dari fitnah," ujarnya.

Anwar juga berkata, seperti lazimnya beliau tidak cenderung untuk merintih kisah derita silam malah sedia memaafkan sesiapa sahaja.

"Hanya yang dimasygulkan ialah kebiadaban gerombolan kecil termasuk media yang berdendam kesumat dan terus memfitnah saya," katanya lagi.

Artikel Berikut

Artikel Lain