suria

Program Khas Kepada Pelatih PLKN Yang Tiada Kemahiran 3M

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengendalikan program khas kepada pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang masih tidak menguasai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan juga akan mengenal pasti latar belakang pelajar tersebut dan aliran sekolah yang telah mereka lalui bagi mencari penyelesaian terbaik.

"Kita nak kenal pasti mereka ini datang dari sekolah mana, bandar atau luar bandar, sekolah kebangsaan atau jenis kebangsaan. Dari situ kita akan susun balik, mungkin sekolah-sekolah yang dikenal pasti, kalau perlu ada program khas kita laksanakan untuk mengatasi masalah itu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan perutusan khas kepada warga Kementerian Pelajaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Selasa.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran mengulas laporan mengejut Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dimana 8 peratus daripada 6,667 pelatih PLKN dari 30 pusat latihan didapati tidak boleh membaca dan menulis.

Keputusan itu berdasarkan satu projek perintis menggunakan satu modul yang dipanggil I-Smart yang dijalankan ke atas kumpulan ketiga pelatih PLKN pada Ogos tahun lepas.

Mengambil kira kelemahan proses pembelajan sebelum ini, Muhyiddin berkata kerajaan telah memperkenalkan 'literasi dan numerasi' dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk menguji tahap kefahaman dan keupayaan pelajar termasuk dari sergi fizikal, pendengaran, penglihatan sejak darjah satu lagi.

"Nanti saya akan dapatkan maklumat terperinci daripada Kementerian Pertahanan. Harapan saya ialah dengan program literasi dan numerasi yang kita perkenalkan ini, saya harap masalah seperti ini tidak berlaku lagi," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain