suria

PAS Beri Amaran Lisan Kepada Saari Sungib Berhubung Isu Calon

KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi amaran lisan kepada Anggota Dewan Undangan Negeri PAS kawasan Hulu Klang Saari Sungib supaya tidak mendahului parti dalam perisytiharan calon PAS yang layak bertanding bagi pilihan raya umum akan datang.

Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Hadi memberi peringatan itu kepada Saari dalam satu pertemuan di sini Ahad lepas.

"Amaran lisan oleh presiden dan peringatan (adalah) agar (Saari) tidak mendahului parti dalam perisytiharan (siapa) yang menjadi calon dan (yang) tidak layak menjadi calon," kata Tuan Ibrahim dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama di sini Selasa.

Saari yang juga Ketua Penerangan PAS Selangor sebelum ini dilaporkan memberi kenyataan bahawa Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang juga exco kerajaan Selangor dan Anggota Dewan Undangan Negeri Gombak Setia kemungkinan tidak menjadi calon pada pilihan raya umum akan datang.

Ia berikutan dakwaan alasan Saari bahawa Hasan, yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Selangor selama lapan tahun itu tidak mendapat jumlah pencalonan yang mencukupi dari cawangan-cawangan. - BERNAMA

Artikel Lain