suria

Mahkamah Tetapkan 21 Februari Dengar Semakan Kehakiman Penganjur Seksualiti Merdeka

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 21 Februari ini untuk mendengar permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman yang difailkan oleh penganjur Seksualiti Merdeka untuk mencabar keputusan polis mengharamkan penganjuran program itu pada November tahun lepas.

Hakim Datuk Rohana Yusuf menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas berjumpa Peguam Kanan Persekutuan Noor Hisham Ismail yang mewakili responden dan peguam Honey Tan Lay Ean dan Chew Siew Ting, yang mewakili pemohon.

Tan memberitahu pemberita permohonan semakan kehakiman itu dijadualkan didengar hari ini, bagaimanapun mahkamah menangguhkan ke 21 Feb ini selepas peguam responden membangkitkan bantahan awal.

"Saya meminta kes ini ditangguhkan selepas peguam responden membangkitkan bantahan awal berhubung permohonan bagi kebenaran untuk membuat semakan kehakiman," katanya.

Permohonan itu difailkan oleh Pang Khee Teik, 38, Angela Marianne Kuga Thas, 47, S.Thilaga Socky Pillai, 24, Siti Zabedah Kasim, 48, dan Md Nor Ismat Selamat terhadap Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar, Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Nor Azman Muhammad Yusuf dan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Mereka memfailkan permohonan itu melalui Tetuan Tan Law Practice di Mahkamah Tinggi di sini pada 9 Disember lepas.

Dalam permohonan itu, mereka berkata Khalid, selaku responden pertama telah membuat keputusan mengisytiharkan pengharaman sebarang majlis berkaitan program Seksualiti Merdeka pada sidang media 3 Nov tahun lalu, kerana ia adalah menyalahi undang-undang dan bertentangan dengan Perkara 8 dan 10 Perlembagaan Persekutuan.

Mereka mendakwa Khalid telah bertindak di atas salah faham atau sengaja tidak mahu mengakui fakta sebenar bahawa majlis itu bukan bertujuan untuk aktiviti yang menyesatkan, menyebabkan kekacauan, permusuhan atau rusuhan atau mengancam keselamatan negara.

Pemohon berkata Khalid ketika membuat keputusan itu didakwa telah mempertimbangkan pelbagai perkara yang tidak relevan seperti pandangan popular dan majoriti berhubung seksualiti, kesihatan dan/atau agama, yang mana mereka mendakwa ia bukanlah alasan munasabah untuk mengharamkan program itu.

Mereka memohon perintah certiorari untuk membatalkan keputusan itu dan satu perintah dikeluarkan kepada responden agar memberikan semua salinan laporan polis yang dibuat berhubung bantahan program Seksualiti Merdeka kepada pihak penganjur.

Seksualiti Merdeka adalah festival tahunan memperjuangkan hak sama rata untuk golongan homoseksual dan transeksual seperti gay, lesbian, biseksual, interseks serta transgender. - BERNAMA

Artikel Lain