suria

Kontraktor Dituduh Rasuah, Ubah Wang Haram

MELAKA: Seorang kontraktor pembekal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa terhadap tuduhan rasuah dan penggubahan wang haram antara 2006 dan 2010.

T. Gauthaman, 43, menghadapi lapan tuduhan menerima suapan berjumlah RM341,922 daripada Ghang Min Goo sebagai upah bagi membantu Syarikat Soo Min Inc mendapatkan tawaran kerja membekal dan membaiki peralatan Bellos di BP Chemical (M) Sdn Bhd.

Dia juga berdepan 13 pertuduhan melibatkan diri dalam penggubahan wang haram dan menggunakan wang hasil aktiviti haram untuk membayar deposit membeli sebuah kereta dan polisi insurans hayat.

Gauthaman didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Maybank dan HSBC Jalan Hang Tuah di sini dan Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Berhad cawangan Melaka di Plaza Mahkota antara 3 Feb 2006 dan 6 Mei 2010.

Hakim Ahmad Sazali Omar kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan 10 Feb ini untuk sebutan semula kes bagi membolehkan Gauthaman melantik peguam.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Heikal Ismail daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. - BERNAMA

Artikel Lain