suria

Gambaran Luaran Penting Namun Penting Lagi Di Dalam

PENGEMBARAAN ILMU saya diteruskan ke sebuah negara di Timur Tengah. Negara ini sekarang sedang popular dengan liberalisasinya berbanding dengan negara-negara Teluk yang lain.

Keterbukaan masyarakat negara ini jelas kelihatan dari mula menjejakkan kaki di sini apatah lagi apabila melihat kaum Hawa yang telah diberi banyak kelonggaran dari segi kesamarataan hak berbanding dengan negara Teluk yang lain terutamanya jika Arab Saudi yang menjadi kayu pengukurnya.

Negara ini dikenali sebagai United Arab Emirate atau UAE. UAE terletak di Barat Daya Asia dengan di kelilingi oleh dua teluk iaitu Oman dan Parsi, bersempadan dengan Arab Saudi di sebelah barat dan Oman di tenggaranya.

UAE tidak memilik hasil minyak sehebat negara jiran-jiran mereka. Kekurangan ini menyebabkan mereka harus menjana sumber lain untuk membangunkan ekonomi agar mereka tidak terus ketinggalan.

KAEDAH

Di antara kaedah yang diperkenalkan oleh negara beraja ini ialah dengan membuka pintu negara mereka untuk pelaburan asing serta mewujudkan zon-zon bebas cukai agar kadar keluar masuk mata wang asing dapat meningkatkan lagi keluaran hasil dalam negara.

Dengan memperkenalkan polisi ini, berpusu-pusu orang luar berhijrah ke negara padang pasir ini. Tawaran gaji berserta pakej pekerjaan yang menarik menjadikannya satu lubuk emas yang baru.

Secara perlahan-lahan impak penghijrahan ini akhirnya merubah dataran pasir menjadi kota metropolitan serba modern dan canggih.

Bagunan-bangunan pencakar langit penuh artistik dibina di merata ceruk bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Penglibatan ekspatriat boleh dilihat di mana-mana anda pergi seolah-olah negara ini dimiliki oleh orang bukan Arab.

Pada masa yang sama, jarang sekali kita dapat melihat orang “mereka” sendiri bekerja terutama di peringkat bawahan ataupun menengah seolah-olah begitu hina sekali jenis pekerjaan ini bagi warga tempatan.

Penggunaan tenaga kerja luar begitu meluas sehinggakan saya terfikir apakah yang akan terjadi kepada negara ini jika mereka sudah tidak memiliki wang?

Bagaimanakah mereka akan “survive” jika sekecil-kecil perkara pun mereka tidak boleh melakukannya apatah lagi dalam mengurus negara apabila dalam keadaan krisis.

PENAMPILAN

Sebenarnya, kunjungan saya kali ini atas jemputan kenalan-kenalan lama saya ketika kami bersama-sama menimba ilmu di Timur Tengah.

Saya bersetuju untuk melapang seketika masa “emas” saya atas dasar ukhuwah yang lama sudah terputus.

Seperti biasa, saya tidak suka bersifat formal, lebih-lebih lagi dari segi pemakaian saya. Namun hakikatnya manusia tetap manusia.

Sikap menilai seseorang secara luaran tidak dapat dipisahkan dari sifat azali makhluk ini. Prejudis sebegini sering merugikan sesama manusia.

Ini yang terjadi pada saya. Saya yang tidak tahu untuk bersikap hipokrit sering menjadi mangsa kepada keadaan.

Kesederhanaan dalam berpakaian sering menjerumuskan saya dalam masalah salah faham sebegini.

Saya selesa hanya dengan memakai selipar, t-shirt dan jean ke mana sahaja saya pergi.

Penampilan bersahaja ini menyebabkan ramai tersalah sangka siapa saya. Penampilan begini juga sering menyebabkan saya dihalau di beberapa tempat eksklusif yang dikunjungi.

SARJAH TANPA VISA

Tiba di Sarjah (bandar ke-3 terbesar di UAE) tanpa visa telah mengundang malang buat diri saya.

Saya tidak dilayan seperti manusia, sehinggalah saya bertutur dalam bahasa Arab, menyebabkan ramai pegawai di situ terkejut.

Apatah lagi slanga yang saya gunakan menyebabkan mereka syak saya bukan sebarang orang.

Mereka mula menyoal siasat saya, namun saya lebih suka tidak mendedahkan siapa diri saya sebenarnya, kerana tujuan saya kali ini lebih berbentuk peribadi bukannya kunjungan rasmi.

Saya tidak hendak menggunkan “kabel” saya yang sedia menanti di luar, saya lebih selesa menyelesaikan isu remeh ini sendiri.

Dari perasaan benci mereka melihat fizikal saya timbul pula perasaan hormat dan dengan mudahnya saya dibenarkan masuk dan diberi visa 3 bulan serta merta secara percuma, walaupun saya hanya ingin singgah tak sampai 12 jam pun.

INDIKASI

Insiden pertama ini seolah-olah memberi indikasi akan timbul masalah lain pula selepas ini.

Keluar sahaja dari lapangan terbang antarabangsa Sarjah, saya disambut mesra oleh Munjib Abd Rahman, seorang pengurus besar di sebuah insitusi perbankan terkemuka di UAE.

Setelah bertukar-tukar khabar saya di maklumkan agenda pertemuan ataupun temujanji sepanjang saya di UAE.

Persinggahan pertama saya ialah untuk bertemu dengan Sheikh Abdul Rahman AlShiraji, seorang alim ulama yang terkenal dan dihormati di sini.

Saya disambut dengan sungguh mesra oleh keluarga Sheikh Abdul Rahman, sehinggakan beliau menitiskan air mata kegembiraan kerana dapat berjumpa semula dengan saya setelah lebih 25 tahun tidak ketemu.

Bagi beliau, pertemuan ini bagaikan satu Dejavu kerana tidak pernah terlintas di hatinya yang kami akan bertemu semula suatu hari nanti.

Antara kata-kata terakhir beliau suku abad yang lalu yang sering menjadi ingatan dalam minda saya ialah persaudaraan sesama muslim tidak akan terputus walaupun tidak bersua berzaman lamanya atau terpisah oleh jarak yang jauh, kekuatan ukhuwah itu ada dalam hati.

Kenangan persaudaraan tidak mungkin luput dek zaman kerana ia berpaksikan kepada tauhid.

Setelah hampir dua jam di teratak ilmu beliau, saya dibawa terus ke Dubai.

Sepanjang perjalanan tersebut saya begitu teruja dengan pembangunan kota ini. Begitu banyak sekali bangunan pencakar langit sehinggakan penat tengkuk mendongak.

Destinasi seterusnya membuatkan saya terkejut. Saya dibawa ke Emirate Tower, sebuah bangunan yang menjadi buah mulut terutamanya dikalangan arkitek.

Saya diminta tunggu di lobi hotel kerana dua orang sahabat baik saya yang kini menjawat jawatan sebagai duta negara asal mereka teringin sangat ingin bersua muka dengan saya.

Secara tiba-tiba saya dipeluk dari belakang, terasa malu saya diperlakukan begitu. Tersenyum rakan-rakan saya melihat saya tersipu-sipu menahan malu.

Saya kemudian diajak naik ke tingkat 44, kawasan khas untuk ahli kelab hotel sahaja.

Di sini insiden kedua pun berlaku. Sampai sahaja di tingkat tersebut, saya dihalang masuk dengan alasan pakaian dan juga saya bukan ahli kelab tersebut.

Menyirap muka kawan saya yang merupakan pelanggan tetap di situ. Sambil menunding jari ke muka pekerja tersebut beliau berkata, kalau awak tidak kenal siapa dia, awak tidak layak untuk bekerja di sini.

Saya cuba meredakan keadaan, namun kawan-kawan saya ini tidak mahu mengalah. Kami tetap minum dan menikmati pandangan dari tingkat tersebut.

Gambarannya sama seperti yang terdapat dalam filem Mission Impossible yang sedang ditayangkan di panggung-panggung wayang di Malaysia. Cukup mempesonakan.

Turun sahaja kami di tingkat tersebut, kami sudah ditunggu oleh pengurus operasi hotel dan beliau meminta maaf secara peribadi kepada saya terhadap sikap pekerjanya tadi.

Saya hanya tersenyum, dan sebagai adat orang Arab, saya bercium pipi dengan beliau tanda persahabatan dan kemaafan.

Disebabkan masa yang begitu mencemburui saya, semua temujanji terpaksa saya batalkan.

Walaupun perit, memandangkan ada sahabat yang mengharap saya sampai ke Abu Dhabi untuk melepaskan rindu, namun saya mengucapkan maaf dengan kata punjaga Arab; "tidak aku ucapkan selamat tinggal, namun ku katakan semoga bertemu lagi."

Apa yang ingin saya nyatakan di sini, kita jangan mudah menghukum seseorang itu hanya berdasarkan rupa parasnya. Bak kata perpatah Inggeris, "don’t judge the book by the cover."

Sebagai contoh ramai di kalangan buruh asing yang bekerja di Malaysia mempunyai ijazah namun disebabkan nasib, mereka terpaksa bekerja sebagai buruh demi sesuap nasi. Hinakah mereka?

Ironinya, gambaran luaran juga penting namun penting lagi apa yang ada di dalam.

Hakikatnya, biarlah elok di luar molek lagi di dalam. Kita sebagai manusia janganlah cepat menghukum sesama kita, kalau prejudis sekalipun biar dilakukan dengan cara terhormat.

Budi bahasa adalah amalan kita.

Dr Ahmad Zaharuddin Sani Sabri merupakan bekas Honorary Fellow di Asian Institute University of Melbourne dan Adjunct di School of Philosophy, History and International Studies Monash University. Beliau merupakan pensyarah kanan di Universiti Utara Malaysia. Beliau boleh dihubungi menerusi email [email protected].

Artikel Lain