suria

Firefly Holiday Akan Lancar Pakej Percutian Tahun Baru Cina Pada 16 Januari

KUALA LUMPUR: Firefly Holiday akan melancarkan tujuh pakej percutian online dari 16 Jan hingga akhir bulan ini, yang kebanyakannya ke destinasi pantai berhampiran negara ini yang diliputi oleh rangkaian Firefly.

Pakej, bersempena musim cuti Tahun Baru Cina, itu bermula dari RM509 bagi tempoh tiga hari/dua malam Subang ke Langkawi, yang termasuk penerbangan menggunakan Firefly dengan penginapan berkembar di Awana Porto Malai Langkawi.

"Kami menyediakan para pelanggan dengan pilihan pantai dan pulau, yang setiap satu mempunyai daya tarikannya sendiri," kata Ketua Pemasaran dan Komunikasinya, Angelina C Fernandez dalam satu kenyataan, Selasa.

"Kami juga mempromosikan beberapa tarikan baharu di Singapura seperti Resorts World Sentosa dan the Singapore Flyer, Pulau Pinang, Phuket, Medan dan Koh Samui," katanya.

"Kami menyedari bahawa ibu bapa yang mempunyai anak kecil juga mahu memasukkan percutian masing-masing dengan lawatan pendidikan seperti Singapore Night Safari dan Science Centre Singapore," katanya.

Firefly, anak syarikat milik penuh Malaysia Airlines, mengendalikan 12 pesawat ATR 72-500 turboprop dari Pulau Pinang dan Subang, yang menghubungkan destinasi di dalam kawasan Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand serta menyediakan hubungan udara antara Malaysia dan Singapura. - BERNAMA

Artikel Lain