suria

Dua Wanita Maut, Motosikal Rempuh Pikap

JITRA: Dua wanita maut apabila motosikal ditunggang mereka merempuh sebuah pikap yang terbabas di atas jambatan lebuh raya jalan Jitra-Bukit Wang di sini, Selasa.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt Ibrahim Mohamad Yusof berkata kejadian berlaku ketika mangsa Fatimah Dali, 48, dan rakan sekampungnya Ariza Daud, 36, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di kampung Padang Panjang, Malau dekat sini dari pekan Jitra pada jam 11.20 pagi.

"Ketika sampai di tempat kejadian motosikal mangsa terlanggar bahagian pintu penumpang depan pikap yang terbabas kerana jalan licin. Pikap itu datang dari arah bertentangan dan termasuk ke laluan mangsa.

"Kedua-dua mangsa meninggal di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala kerana topi keledar tertanggal dan pemandu pikap (lelaki, umur tidak dinyatakan) tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah mayat Hospital Jitra di sini.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai.

Sementara itu, suami Ariza, Abu Talib Ali, 45, berkata isterinya sebelum itu telah keluar untuk menyelesaikan urusan di pejabat zakat Jitra.

Pasangan itu mempunyai lima anak berusia lima hingga 20 tahun. - BERNAMA

Artikel Lain