suria

Dua Pelajar Botswana Ditemui Mati Di Air Terjun Taman Templer

KUALA LUMPUR: Dua pelajar lelaki kolej swasta warga Botswana ditemui mati dipercayai terjatuh di kawasan air terjun Taman Rimba Templer dekat sini, Isnin.

Mayat kedua-duanya ditemui terapung-apung oleh seorang lelaki yang sedang memancing kira-kira 6.45 petang.

Dia pada mulanya terjumpa dua buah beg dan pasport di kawasan berhampiran.

"Lelaki itu terus mencari tuan punya beg tersebut namun apa yang ditemuinya ialah mayat yang terapung di atas air," kata Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi.

Beliau berkata lelaki itu kemudiannya menghubungi polis untuk memaklumkan penemuan mayat tersebut yang melalui operasi bersama dengan pihak Bomba dan Penyelamat Selayang, mayat-mayat itu berjaya diangkat keluar kira-kira pukul 10 malam ini.

"Mereka dipercayai jatuh dari tempat tinggi dan bukan lemas kerana tempat mereka terjatuh itu airnya adalah cetek," kata Abdul Rahim sambil menambah kedua-duanya hanya berseluar dalam ketika ditemui.

Kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat kedua-duanya telah dihantar ke Hospital Selayang untuk dibedah siasat, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain