suria

DSP Polis Didapati Bersalah Meminta, Terima Rasuah

JOHOR BAHARU: Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap seorang Deputi Superintenden polis yang didapati bersalah meminta dan menerima rasuah sebanyak RM36,000 lapan tahun lalu.

Hakim Mohamad Haidar Abdul Aziz turut mengarahkan Mansor Mohamad, 55, membayar denda sebanyak RM180,000 atas kesalahan tersebut.

Mansor menghadapi tiga pertuduhan meminta dan tiga lagi tuduhan menerima rasuah daripada tiga individu yang disyaki menjalankan aktiviti perniagaan ekor haram di Muar antara 21 April dan 5 Mei, 2003 ketika menjadi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah daerah berkenaan.

Dia didakwa meminta rasuah sebanyak RM6,000 Toh Ah Ban di Hotel Pelangi Muar pada pukul 2 petang, 21 April bagi tidak mengambil tindakan terhadap Toh.

Mansor juga meminta sejumlah rasuah yang sama daripada Wong Choon Seng dan Lee Cheng Seng masing-masing di Plaza Tol Plus Tangkak dan Stesen Minyak Petronas Jalan Temenggung Ahmad pada pukul 12 tengah hari dan 2 petang, 28 April.

Mansor didakwa menerima wang sogokan daripada ketiga-tiga lelaki berkenaan di bilik 132 Hotel River View pada pukul 10.15 malam, 9 Mei.

Untuk kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut nilai lebih tinggi.

Mohamad Haidar menjatuhi hukuman empat tahun penjara bagi setiap kesalahan terhadap tertuduh dan mengarahkan hukuman berjalan serentak mulai hari ini serta denda RM180,000 atau 12 bulan jika gagal membayar denda itu.

Peguam tertuduh Rosli Kamaruddin memohon agar hukuman itu ditangguhkan bagi membolehkan rayuan dibuat terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi Johor Baharu dengan mengambil kira anak guamnya seorang penjawat awam yang telah berkhidmat cemerlang sepanjang 30 tahun perkhidmatannya.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abdul Ghafar Abd Latif memohon mahkamah tidak membenarkan penangguhan hukuman itu kerana pihak pembela gagal menunjukkan alasan khas bagi tujuan itu.

Bagaimanapun, Mohamad Haidar kemudiannya membenarkan penangguhan hukuman itu dan mengarahkan tertuduh mengemukakan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin. - BERNAMA

Artikel Lain