suria

Usaha Kesan Gadis Hilang Semasa Banjir Di Kuching Masih Diteruskan

KUCHING: Usaha mencari dan menyelamatkan seorang gadis yang hilang semasa kejadian banjir kilat di sini pada Khamis lepas masih diteruskan, kata Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Superitendan Mun Kock Keong.

Beliau berkata, pasukan mencari dan menyelamat yang disertai polis, bomba dan Jabatan Pertahanan Awam meningkatkan usaha bagi mencari Kho Ying Qi, 19, yang terjatuh ke dalam longkang yang dipenuhi air ketika banjir tersebut.

"Saya tidak tahu sampai bila kita akan teruskan usaha ini, tetapi setakat ini kami belum berputus asa," katanya kepada Bernama pada Isnin.

Kawasan pencarian juga telah diperluaskan sehingga ke Sungai Sarawak iaitu kira-kira tiga kilometer dari lokasi gadis itu dilihat pada kali terakhir.

Mayat pekerja stesen petrol, Herman Sihas, 28, yang lemas selepas cuba menyelamatkan Kho ditemui Sabtu lepas di Sungai Maong Ulu, tiga kilometer dari lokasi kejadian - BERNAMA

Artikel Lain