suria

Tiga Mangsa Letupan Perhimpunan Jalani Pembedahan Ringan Di HKL

KUALA LUMPUR: Tiga daripada lima mangsa letupan pada perhimpunan berhampiran Kompleks Mahkamah di Jalan Duta di sini pada Isnin berjaya menjalani pembedahan ringan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mengeluarkan bebola besi di badan mereka. Ketua Polis Kuala Lumpur,Datuk Mohmad Salleh berkata ketiga-tiga mangsa sudah dibenarkan pulang petang ini.

"Seorang lagi mangsa turut dibenarkan pulang setelah beliau dirawat akibat mengalami kecederaan ringan (calar) di bahagian badan," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook Polis KL. Pengarah Hospital Kuala Lumpur,Dr Zaininah Mohd Zain dalam kenyataannya pula berkata,mangsa kelima yang dirawat di HKL setelah mengadu mengalami sakit dada, kini berpindah ke pusat rawatan swasta atas pilihannya.

Empat daripada mereka merupakan peserta perhimpunan iaitu Ng Kien Seng, 36, yang cedera di tangan kanan, Juhari Mansur, 21, cedera di perut, Isaiah a/l Jacob, 46, mengalami kecederaan di leher, dan Tang Eng Ghee, 48, yang cedera di kaki kiri.

Seorang lagi mangsa iaitu peguam Keith Christopher, 27, cedera di bibir dan kaki.

Dr Zaininah berkata, seorang lagi mangsa dikesan mengalami serangan jantung dan telah diberikan rawatan defibrilasi serta thrombolisis dan kini dirawat di Unit Rawatan Kritikal.

Difahamkan mangsa itu dikenali sebagai S.Bakthavachalam, 63, mengalami sakit jantung akibat terkejut selepas mendengar letupan itu.

Anwar pada Isnin dibebaskan daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pada 2008.

Seramai 4,500 penyokongnya berhimpun di luar mahkamah untuk mengetahui keputusan itu.

Bagaimanapun, perhimpunan itu dicemari insiden letupan yang dipercayai daripada bom buatan sendiri mengandungi bebola besi.

Ketiga-tiga letupan itu telah merosakkan sebuah lori, lima kereta dan dua motosikal yang diletakkan berhampiran dengan tempat kejadian.

Sementara itu, seorang wartawan Jenayah Bernama, Nur Nastasha Aida Ismail, 24, berkata beliau mengalami pedih di bahagian mata, kerongkong dan telinga setelah berada berdekatan kawasan letupan kedua semasa perhimpunan berkenaan.

"Ketika itu saya sedang membuat liputan perhimpunan dan letupan itu berlaku dari arah belakang saya kira-kira dua meter dari kawasan gerai makanan berdekatan stesen Janakuasa Tenaga Nasional Berhad. Semua orang lari, kecuali saya yang masih tergamam.

"Akibat letupan itu saya merasakan ada cecair mengalir di dalam telinga saya dan telinga saya berdesing. Mata saya pun terasa pedih serta kerongkong saya terasa pahit dan pedih apabila minum," katanya.

Kata Nur Natasha, beliau kini mendapatkan rawatan di klinik swasta yang berdekatan. - BERNAMA

Artikel Lain