suria

Tentera Rampas Mercun, Bunga Api Di Sempadan

RANTAU PANJANG: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merampas mercun dan bunga api pelbagai jenis bernilai kira-kira RM250,000 termasuk cukai, dalam satu serbuan di pangkalan haram Terusan di sini, Ahad.

Panglima Markas Lapan Briged Infantri, Briget Jeneral Datuk Mohamad Zaki Hamzah berkata, dalam rampasan pukul 1.30 pagi itu, dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam penyeludupan barang terlarang itu melarikan diri.

"Mercun dan bunga api itu dimasukkan ke dalam 36 buah kotak besar yang setiap satu dianggarkan bernilai lebih RM2,400," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Mohamad Zaki berkata, sekumpulan pegawai dan anggota tentera yang membuat rondaan melihat sekumpulan lelaki dalam keadaan mencurigakan di tebing Sungai Golok sebelum menghampiri mereka dan pemeriksaan dalam kotak-kotak itu mendapati pelbagai jenis mercun dan bunga api, dipercayai diseludup dari negara jiran.

Beliau berkata, semua rampasan itu akan diserahkan kepada Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kelantan untuk tindakan lanjut.

Mohamad Zaki berkata, sepanjang tahun lepas, barang bernilai kira-kira RM3 juta dirampas ATM dalam Ops Merpati dan Ops Wawasan sepanjang sempadan Kelantan-Thailand.

Beliau berkata, rampasan terbesar membabitkan 75,000 biji dadah jenis methamphetamine bernilai kira-kira RM1.3 juta di pasaran tempatan.

Barangan lain ialah beras siam, ternakan dan tekstil bernilai lebih RM1.7 juta. Beliau berkata, seramai 73 orang pendatang asing tanpa izin ditahan sepanjang tahun lepas dengan sebahagian besar adalah rakyat Myanmar. - BERNAMA

Artikel Lain