suria

Sembilan CPU, Dua Komputer Riba Dianalisis Dalam Siasatan Kes Sosilawati

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mendengar kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain, diberitahu sembilan unit pemprosesan pusat (CPU) komputer dan dua komputer riba telah diperiksa dan dianalisis pihak polis dalam siasatan kes itu.

Inspektor Suzana Zainal Abidin, 31, yang bertugas sebagai Juruanalisa Sektor Jenayah Komputer di Makmal Forensik Bukit Aman berkata, antara perkara yang ditemuinya semasa memeriksa dan menganalisis CPU dan komputer riba itu ialah rekod waktu yang tertera pada dokumen, ada di antaranya menunjukkan 10 tahun lebih awal daripada waktu ia dicipta.

Suzana, ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Nur Azimul Azami berkata, ini boleh berlaku kerana bateri yang menyalurkan kuasa untuk menjalankan jam pada komputer apabila komputer dimatikan, sudah lemah.

Saksi ke-79 pendakwaan itu memberi keterangan pada perbicaraan kes bekas peguam N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang T. Thilaiyalagan, R. Matan dan R. Khatavarayan yang dituduh membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Pathmanabhan, 43, Thilaiyalagan, 21, Matan, 22, dan Kathavarayan, 32, dituduh melakukan kesalahan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010 dan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Selain daripada memeriksa waktu pada komputer-komputer berkenaan, Suzana berkata, beliau diarahkan pegawai penyiasat Asisten Superitendan Ishak Yaacob untuk mencari dokumen-dokumen daripada cakera keras komputer-komputer yang diperiksanya dengan menggunakan kata-kata kunci yang diberikan.

Beliau berkata, Ishak memberikan 49 kata kunci untuk digunakan dalam pencarian dokumen pada 15 September 2010, 55 kata kunci pada 17 September 2010 dan enam kata kunci pada 26 September 2010.

Hasil carian menggunakan kata kunci itu, lebih daripada 2,000 dokumen ditemui daripada komputer-komputer yang diperiksa. Semasa disoal balas peguam bela Pathmanabhan, Manjeet Singh Dhillon, Suzana berkata, beliau menumpukan perhatian dari 15 September hingga 22 September untuk memeriksa dan menganalisis komputer-komputer itu.

Ditanya Manjeet sama ada beliau ingat kata kunci seperti "54233", "ample", "vineland", "Lee", "Rahman" dan "Palil" semasa melakukan pencarian dokumen, Suzana berkata, tidak ingat tetapi mengesahkannya apabila disuruh merujuk lampiran laporan yang diberikan kepada beliau.

Ditanya sama ada Ishak ada meminta beliau mencetak dokumen yang dicari dengan kata kunci 54233, Suzana berkata: "Ada".

Manjeet berkata, 54233 merupakan geran sekeping tanah di Batu Feringgi Pulau Pinang yang harganya mencecah RM200 juta. Manjeet juga memohon kepada mahkamah supaya Suzana mencetak dokumen-dokumen yang diperolehnya semasa memeriksa komputer-komputer yang direkodkan dalam bentuk tiga cakera sebelum ini, untuk di bawa ke mahkamah pada Selasa.

Hakim Datuk Akhtar Tahir membenarkan permohonan Manjeet sebelum menangguhkan perbicaraan dan meminta Suzana membawa dokumen yang diperlukan pada perbicaraan yang bersambung pada Selasa. - BERNAMA

Artikel Lain