suria

PSC Kaji Cadangan Ganti Nombor Siri Dengan Kod Bar Pada Kertas Undi

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC) akan meneliti cadangan supaya kod bar digunakan bagi menggantikan nombor siri pada kertas undi.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili berkata, beliau akan membawa perkara itu pada mesyuarat jawatankuasa akan datang kerana sistem kod bar membolehkan pihak berkuasa memantau penyerahan kertas undi dan mengesan sebarang penyelewengan.

"Jika ada satu kertas undi tambahan, anda dapat mengesan dari mana ia datang. Dan satu-satunya cara untuk mengesannya adalah melihat dari mana datangnya kod tambahan itu.

"Kalau tak ada kod, agak sukar bagi anda untuk mengatakan dari mana ia datang dan sebagainya," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Sabtu lepas, Anggota Dewan Undangan negeri (ADUN) Bukit Panau Datuk Abdul Fatah Mahmood mencadangkan supaya nombor siri pada kertas undi dihapuskan.

Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, tidak wujud keperluan menggunakan kod bar pada kertas undi memandangkan nombor siri yang digunakan sekarang sudah mencukupi bagi menjamin kerahsiaan undi.

Sebelum itu, Ongkili menyaksikan majlis menandatangani kerjasama antara Nanning TV, China dan Jia Yu Channel, Malaysia bagi meningkatkan kerjasama dalam produksi TV. Kedua-dua syarikat juga mengadakan usahasama dalam produksi animasi dengan penerbitan "Borneo HeadHunter", yang akan dikeluarkan di China semasa Ekspo China-Asean pada Oktober tahun ini.

Ongkili juga berkata, beliau optimistik bahawa perkongsian antara Nanning TV dan Jia Yu Channel, akan membuka lebih banyak peluang untuk kerjasama pada masa depan dan membolehkan industri kandungan Malaysia menembusi pasaran China. - BERNAMA VMP KHY NH

Artikel Lain