suria

PERKEMBANGAN DI KOMPLEKS MAHKAMAH JALAN DUTA KES PERBICARAAN ANWAR IBRAHIM

KUALA LUMPUR: Berikut adalah kronologi perkembangan di hadapan Kompleks Mahkamah Tinggi, Jalan Duta di sini, Isnin dalam kes perbicaraan liwat kedua Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mana keputusannya akan diketahui sebentar lagi.

11.15 pagi: Orang ramai mulai bersurai atas arahan polis.

11.00 pagi: Sebuah ambulans tiba untuk membawa seorang lelaki yang terkena serpihan yang dipercayai letupan mercun ke hospital.

10.50 pagi: Anwar bergerak meninggalkan mahkamah.

10.25 pagi: Beberapa pemimpin PKR meminta penyokong berarak ke Masjid Wilayah bersama-sama Anwar.

10.20 pagi: Anwar berucap di luar mahkamah. Beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada pimpinan Pakatan Rakyat dan rakyat yang berdiri teguh di belakangnya. Unit udara PDRM berlegar-legar memantau keadaan di kawasan mahkamah.

10.10 pagi: Pengerusi DAP, Karpal Singh meninggalkan kompleks mahkamah. Seorang penyokong meluru ke arah beliau dan mengucapkan terima kasih kepadanya kerana mempertahankan Anwar.

10.00 pagi: Anwar keluar dari kompleks mahkamah sambil diiringi laungan Reformasi. Beliau dijangka menuju ke Masjid Wilayah.

9.30 pagi: Para penyokong melaungkan Reformasi selepas mengetahui Anwar bebas daripada pertuduhan liwat.

9.25 pagi: Keadaan gamat seketika apabila seorang penyokong meluru ke perkarangan luar mahkamah memberitahu Anwar bebas daripada tuduhan liwat.

9.05 pagi: Prosiding mahkamah bermula tanpa sebarang gangguan.

9.00 pagi: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tiba di pekarangan mahkamah bersama beberapa pemimpin PAS yang lain.

8.45 pagi: Seorang nenek berusia 56 tahun hadir bersama dua cucunya yang berusia 10 tahun dan tiga tahun untuk memberi sokongan kepada Anwar.

8.37 pagi: Anwar Ibrahim tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta diiringi isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak-anaknya, Nurul Izzah, Nurul Nuha dan Mohamad Ihsan.

Beliau disambut oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail manakala para pemberita cuba menghampiri beliau untuk mendapatkan reaksi.

Suasana menjadi sedikit hingar bingar dengan para penyokong beliau juga cuba untuk menghampiri beliau.

Anwar membalas reaksi mereka dengan melemparkan senyuman dan melambai lambai tangan ke arah mereka.

8.33 pagi: Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali masuk ke pekarangan mahkamah.

8.32 pagi: Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail pula tiba.

8.30 pagi: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim tiba.

8.05 pagi: Mahasiswa UPSI, Adam Adli yang mencetuskan kontroversi apabila menurunkan bendera Najib di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bulan lalu tiba di kawasan mahkamah bersama sekumpulan mahasiswa lain.

8.00 pagi: Keadaan masih lagi terkawal. Kira-kira 4,000 penyokong membanjiri perkarangan luar mahkamah.

7.50 pagi: Stiker Anwar Tidak Bersalah mula diedarkan kepada penyokong.

7.45 pagi: Sastrawan negara, Datuk A. Samad Said dan penganjur Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan tiba di perkarangan luar mahkamah. Kedua-duanya kemudian dilihat memasuki kompleks mahkamah. Turut kelihatan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

7.45 pagi: Peguam Anwar, R. Sivarasa masuk ke kawasan komples mahkamah.

7.25 pagi: Seorang penyokong yang memakai topeng wajah Anwar menyanyikan lagu tema Keadilan Rakyat.

7.15 pagi: Penyokong menyanyikan lagu Negaraku dan melaungkan Reformasi, Hidup Rakyat dan Jatuh BN. Kira-kira 3,000 penyokong membanjiri kawasan parkir. Arahan dikeluarkan polis agar para penyokong memenuhi ruang parkir.

7.10 pagi: Ahli Angkatan Muda Keadilan tiba di perkarangan luar mahkamah.

6.55 pagi: Penyokong melaungkan reformasi..reformasi!

6.52 pagi: Sekumpulan penyokong membawa sepanduk tertera 'Rakyat Hakim Negara', 'Tolak Fitnah 2'.

6.45 pagi: Keadaan di kawasan parkir agak terkawal. Beberapa penyokong dilihat sedang bersarapan.

6.35 pagi: Lebih kurang 500 penyokong dan media mula membanjiri kawasan parkir dan luar perkarangan mahkamah.

6.30 pagi: Unit udara PDRM berlegar-legar memantau keadaan dari udara. Empat trak polis sudah memasuki luar perkarangan kompleks mahkamah.

6.25 pagi: Penyokong memasuki kawasan parkir yang dibenarkan polis untuk berhimpun. Laungan reformasi mula kedengaran. Polis mengawal luar perkarangan mahkamah.

6.15 pagi: Ketua Polis daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan yang tiba seawal pukul 4.00 pagi untuk memantau keadaan mengarahkan penyokong untuk berhimpun di kawasan parkir.

6.15 pagi: Wakil media dibenarkan mendaftar bagi mendapatkan pass masuk ke bilik perbicaraan. Hanya seorang wakil bagi setiap organisasi media dibenarkan masuk.

6.00 pagi: Sekumpulan penyokong mula berarak ke hadapan pintu pagar utama mahkamah sambil memakai topeng wajah Anwar.

5.00 pagi: Pintu utama masuk ke kompleks Mahkamah Jalan Duta masih ditutup sepenuhnya kepada orang awam.

4.30 pagi: Para petugas media dan penyokong Anwar mula kelihatan di luar perkarangan mahkamah.

Artikel Lain