suria

Pelajar Maut Motosikal Bertembung Kereta

DUNGUN: Seorang pelajar maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di persimpangan Kampung Cacar Baru Paka, dekat sini.

Muhdi Syarif Hidayatullah, 17, yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Kemalangan kira-kira 5.15 petang semalam itu dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa gagal berhenti di persimpangan jalan tersebut sebelum merempuh sebuah kereta yang menyebabkannya tercampak ke atas jalan.

Abang mangsa, Jusaharim, 31, ketika ditemui berkata, Muhdi dipercayai dalam perjalanan ke rumahnya di Taman Murni Perdana ketika kejadian.

"Dia dalam perjalanan ke rumah saya selepas membuat salinan sijil dan dokumen peribadi untuk cari kerja sementara tunggu keputusan peperiksaan SPM," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Supteritendan Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan kejadian. - BERNAMA

Artikel Lain