suria

Mahkamah Adil - Nik Aziz

KOTA BHARU: Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung kes liwat melibatkan pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan mahkamah adalah adil, kata Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau yang bersyukur dengan keputusan tersebut berkata, Anwar kini sudah terlepas daripada fitnah yang dihadapinya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin membebas dan melepaskan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali berkata, semua pihak perlu menghormati keputusan mahkamah itu dan menghormati kedaulatan undang-undang.

Katanya, mana-mana pihak tidak seharusnya mencetuskan huru-hara serta melakukan perkara yang boleh mendahului mahkamah dan sistem kehakiman negara.

"Sebelum ini ada pihak terang-terang tuduh mahkamah berat sebelah, konspirasi dan mahu rakyat jadi hakim, apa mereka mahu kata sekarang? Apakah mereka tidak percaya kepada keadilan mahkamah?" katanya dalam satu khidmat pesanan ringkas. - BERNAMA

Artikel Lain