suria

Kastam Selangor Rampas Gading Gajah Bernilai RM2.4 Juta

PELABUHAN KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor menumpaskan cubaan satu sindiket antarabangsa menyeludup kira-kira 492.4kg gading gajah bernilai RM2.4 juta di Pelabuhan Barat di sini.

Pengarahnya, Datuk Azis Yacub berkata, gading berkenaan berasal dari Cape Town, Afrika Selatan, ditemui dalam sebuah kontena yang telah ditahan oleh bahagian penguat kuasa jabatan itu menerusi satu sistem pengesan, Jumaat lalu.

"Dagangan dalam kontena itu diikrar sebagai 'Polyester and Nylon Strand Matting' dan apabila diperiksa dengan teliti pihak kami menemui bungkusan gading gajah yang dimuatkan dalam 14 buah kotak yang diletakkan di bahagian belakang kontena bersama dengan muatan tayar terpakai," katanya pada sidang akhbar di sini Isnin.

Azis berkata, siasatan awal mendapati gading itu dari Pelabuhan Cape Town, menuju ke destinasi terakhir iaitu Pelabuhan Klang.

"Pihak kami berjaya memintas barang-barang tersebut di Pelabuhan Barat," katanya.

Beliau berkata, belum ada tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 iaitu dengan tipu daya bagi tujuan untuk menyeludup barang-barang larangan Kastam.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang (minimum) dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barang (maksimum) atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, Azis berkata, sepanjang tahun lepas, JKDM Selangor turut merampas barang-barang kontraban atau belum lulus kastam bernilai hampir RM200 juta yang melibatkan cukai berjumlah lebih RM97 juta.

Antara komoditi utama yang dirampas termasuklah pelbagai jenis rokok termasuk rokok kretek, minuman keras, jubin, dadah dan barangan elektrik.

Katanya, melalui rampasan barangan komoditi itu sebanyak 496 kertas siasatan telah dibuka dan 380 orang telah disiasat sepanjang tempoh 2011.

Beliau turut menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kes penyeludupan agar segera menghubungi jabatan itu menerusi talian bebas tol 1-800-88-8855. - BERNAMA

Artikel Lain