suria

Jeff Ooi Beri 'Amaran Terakhir' Kepada YDP MPPP

GEORGE TOWN: Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi memberi “amaran terakhir” kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) Patahiyah Ismail agar segera menyelesaikan isu kelewatan menyiapkan kerja-kerja menaik taraf pasar basah Jelutong.

“Ini adalah amaran terakhir saya kepada beliau...jelaskan kepada saya dan juga masyarakat Jelutong mengenai kelewatan ini,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini, Isnin.

Ooi berkata, beliau hanya memberi tempoh seminggu kepada Patahiyah dan MPPP untuk berurusan dengan kontraktor yang bertanggungjawab terhadap kerja-kerja menaik taraf pasar tersebut dan selepas itu beri penjelasan bagaimana mereka hendak menyelesaikan masalah tersebut.

Menurut Ooi, progres kerja-kerja menaik taraf pasar itu kini hanya pada tahap 49.69% sahaja sedangkan ia sepatutnya mencapai tahap 82.25% siap.

Katanya lagi, kontraktor berkenaan telah diberikan tiga kali surat tunjuk sebab oleh MPPP pada Oktober, November dan Disember tahun lalu mengapakah kerja-kerja mereka begitu lembab dan tidak menurut tempoh yang ditetapkan.

"Mereka sepatutnya menyiapkan semua kerja ini pada 1 Februari depan tetapi daripada apa yang kita tengok saya tidak fikir mereka akan dapat menyiapkannya mengikut waktu,” kata Ooi lagi.

Kata Ooi, kelewatan menyiapkan kerja adalah satu budaya yang tidak boleh dibenarkan di dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Tegas beliau, sekiranya perkhidmatan kontraktor itu ditamatkan, ia hanya akan memanjangkan lagi tempoh menyiapkan kerja-kerja menaik taraf pasar berkenaan kerana proses menawarkan tender baru akan mengambil masa sekurang-kurangnya 30 hari lagi untuk dilakukan.

“Ia juga akan menjadi bebanan kepada kerajaan negeri jika dijadikan satu isu dalam pilihan raya akan datang," ujarnya.

Menurut Ooi, kerja-kerja kontrak tersebut telah dianugerahkan kepada sebuah syarikat pembinaan Kelas E bumiputera dengan nilai kontrak berjumlah RM810,370.

Mereka memulakan kerja-kerja tersebut Jun tahun lalu.

Dalam pada itu,Pengarah Bangunan MPPP, Yew Tung Seang, yang turut hadir pada sidang akhbar tersebut berkata, beliau sendiri akan menyampaikan rasa kecewa Ooi dan penduduk Jelutong kepada Patahiyah.

Bagaimanapun kata Yew, MPPP sendiri turut kecewa dengan prestasi kerja kontraktor berkenaan dan kelewatan yang berlaku.

“Kelewatan ini terus terjadi walaupun pihak majlis mengadakan lawatan kerja setiap minggu dan mengadakan mesyuarat kordinasi setiap bulan dengan mereka (kontraktor)," tegasnya.

Salah satu punca kelewatan menyiapkan kerja-kerja ini, katanya, adalah kerana pihak kontraktor gagal mematuhi nasihat MPPP supaya ditambah bilangan tenaga kerja.

Ditanya, mengapakah syarikat itu dipilih untuk melaksanakan kontrak tersebut, Yew berkata, ini kerana mereka mempunyai rekod kerja yang baik sebelum ini dan tidak pernah disenarai hitamkan.

Bagaimanapun kata Yew, kontraktor berkenaan boleh dikenakan denda RM200 sehari untuk setiap hari yang tertangguh berdasarkan peraturan yang sedia ada.

Artikel Lain