suria

Anwar Keluar Meninggalkan Rumah Jam 8 Pagi

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan ditentukan nasibnya hari ini sama ada bersalah atau tidak dalam perbicaraan kes liwatnya yang kedua keluar meninggalkan kediamannya seawal jam 8 pagi ini dari Segambut menuju ke Kompleks Mahkamah Tinggi Jalan Duta di sini.

Bekas timbalan perdana menteri itu dituduh meliwat pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, tiga tahun dahulu di sebuah kondominium. Sementara itu, jam 8.10 pagi , Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng masuk ke pekarangan Kompleks Mahkamah.

Manakala pada jam 8.15 pagi pula, peguam utama Anwar, Sankara Nair tiba di mahkamah.

Perbicaraan dijangka bermula pada jam 9 pagi.

Di tempat meletak kereta Kompleks Mahkamah Jalan Duta, beribu penyokong Anwar telah berkumpul seawal jam 6 pagi lagi.

Ada di antara mereka yang membawa sepanduk.

Polis hanya membenarkan sepanduk yang tidak mempunyai kata-kata "Bebaskan Anwar" sahaja daripada dibawa masuk ke kawasan yang dibenarkan berhimpun.

Sebahagian besar daripada mereka mula bergerak selepas selesai menunaikan Solat Subuh beramai-ramai di Masjid Wilayah Persekutuan yang terletak berhampiran dengan Kompleks Mahkamah.

Artikel Lain