suria

Anwar Bebas, Pembangkang Semakin Yakin Hadapi Pilihan Raya

KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya telah melonjak semangat pihak pembangkang untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Perkara ini amat menyerlah menerusi ucapan-ucapan yang diberikan oleh mereka yang menyertai perhimpunan di persekitaran kawasan Kompleks Mahkamah Jalan Duta sebaik sahaja mengetahui Anwar dibebaskan.

Antara yang menjadi inti pati ucapan termasuklah keyakinan mereka untuk menawan Putrajaya pada pilihan raya akan datang.

"Keputusan ini adalah kemenangan rakyat. Ini juga menunjukkan langkah kita yang semakin menghampiri Putrajaya," kata salah seorang pemimpin pembangkang yang menyampaikan ucapan dari balkoni Pusat Penjaja Selera Duta, dekat sini, Isnin.

Ucapan yang disampaikan para pemimpin di hadapan ribuan penyokong pembangkang yang memenuhi jalan raya sekitar Mahkamah Tinggi dan Masjid Wilayah sementara menunggu Anwar muncul memberi ucapan.

Antara yang tampil memberi ucapan termasuklah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, Wakil PAS Baling dan mahasiswa kontroversi Adam Adli dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).

Adam Adli yang turut menyertai perhimpunan itu akan dihadapkan ke Mahkamah Universiti UPSI, pada pukul 3 petang ini.

Sementara itu, ketika ucapan diberikan para peserta dikejutkan dengan dua letupan yang agak kuat yang dipercayai mercun.

Artikel Lain