suria

Sebanyak 13 Barang Kawalan Sempena Tahun Baru Cina

BERA: Tiga belas jenis barangan kawalan harga akan diumum Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di bawah Skim Kawalan Harga musim perayaan sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Menteri berkenaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau akan mengumumkan barangan berkenaan di Kuala Lumpur dalam tempoh terdekat ini.

"Kuatkuasa Skim Harga Barang Kawalan ialah selama 12 hari iaitu lapan hari selepas tahun baru Cina dan empat hari sebelum perayaan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Ramah Mesra Bersama ahli jawatankuasa Tabika Kemas Parlimen Bera, di sini Ahad.

Menurutnya penguatkuasaan Skim Kawalan Harga itu bertujuan mengelakkan peniaga dan pekedai mengambil kesempatan menaikkan harga barangan berkenaan.

"Antara barang yang akan senaraikan ialah ikan bawal putih, udang besar, bawang putih dan beberapa jenis lagi, barang tersebut dikawal kerana ia merupakan barang yang digunakan masyarakat Cina bagi menyambut perayaan Tahun Baru mereka," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata sebanyak 60 buah lagi Kedai Rakyat 1Malaysia (KRIM) akan dibuka tahun ini.

"Kerajaan memperuntukkan RM40 juta bagi pembukaan 60 KRIM tahun ini, tahun lepas sebanyak 25 KRIM telah dibuka di seluruh negara dan ternyata mendapat sambutan memberangsang," katanya.

Beliau berkata sehingga kini, sebanyak 250 jenis barang dijual di KRIM dan usaha menambah barangan itu akan dilakukan dari masa ke semasa.

"Kementerian juga mensasarkan sebanyak 500 buah lagi kedai runcit biasa turut menjual barangan jenama KRIM tahun ini.

"Sehingga kini sebanyak 180 kedai runcit biasa menjual barangan KRIM mengikut harga yang ditetapkan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain