suria

Peserta Demo 901 Mesti Patuh Syarat Polis

KUALA LUMPUR: Penganjur dan peserta perhimpunan Isnin ini diminta mematuhi syarat ditetapkan polis serta tidak mengambil kesempatan mengadakan perarakan yang boleh menggugat keselamatan negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kelulusan yang diberikan polis agar perhimpunan itu diadakan di tempat letak kereta Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada hari berkenaan merupakan langkah bersifat keterbukaan.

"Pihak polis membenarkan perhimpunan itu selepas pemimpin pembangkang memberi jaminan bahawa ia adalah perhimpunan aman dan bukannya perarakan haram," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Semalam, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, selepas perbincangan dengan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh, memberi jaminan perhimpunan itu akan berjalan secara aman dan teratur.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno berkata, Azmin sebagai pemimpin tertinggi PKR mesti mengotakan janjinya dengan memastikan semua peserta perhimpunan tersebut tidak mencetuskan keadaan huru-hara kelak.

"Tanggungjawab menjaga keamanan negara bukan hanya terletak di bahu anggota polis dan tentera, tetapi ia melibatkan semua orang termasuk anggota pembangkang dengan mengutamakan keselamatan dan kepentingan umum kerana rakyat mahu hidup dalam sebuah negara yang harmoni sepanjang masa," katanya.

Ahmad Zahid yakin polis akan mengawal keadaan secara professional jika peserta perhimpunan memberi kerjasama dengan mematuhi syarat yang ditetapkan.

Beliau juga menasihati peserta perhimpunan itu agar tidak melakukan sebarang provokasi kepada mana-mana pihak sehingga mampu mencetuskan suasana tegang. BERNAMA

Artikel Lain