suria

Kemalangan Di New Jersey:Pelajar Malaysia Stabil

NEW YORK: Penuntut Malaysia yang disalah lapor oleh akhbar Amerika Syarikat sebagai terbunuh dalam kemalangan di New Jersey pada 2 Jan lepas, kini berada dalam keadaan stabil.

Doktor di Hospital Universiti Robert Wood Johnson di New Brunswick, New Jersey di mana Hennis Ling Tung sedang dirawat, dilapor berkata penuntut itu mengalami konkusi dan menjalani terapi bagi memulihkan ingatan.

Konsul Jeneral Malaysia di New York Syed Mohamed Bakri Syed Abdul Rahman turut melawat penuntut itu di hospital dan sempat bertemu dengan ibu bapa gadis tersebut.

"Tung telah sedar dan sudah boleh berkomunikasi secara perlahan-lahan. Ibunya terpaksa berbisik kepadanya untuk memberitahu saya datang sebagai konsul jeneral Malaysia.

"Gadis itu menganggukkan kepala dan menyapa saya. Berdasarkan maklumat yang saya terima daripada hospital, beliau patah tulang rusuk," kata Syed Bakri kepada Bernama.

Akhbar Republic yang berpangkalan di Columbus, Indiana telah melaporkan seorang penuntut Malaysia terbunuh apabila kereta yang dinaikinya bersama empat lagi terbabas di laluan Interstate 78.

Bagaimanapun, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman mengeluarkan satu kenyataan kemudian mengesahkan pelajar wanita itu selamat.

Tung, 20, merupakan pelajar tahun akhir di Universiti Ohio. - BERNAMA

Artikel Lain