suria

Demo 901: Kementerian Kesihatan Sedia Beri Bantuan Kecemasan

KUANTAN: Kementerian Kesihatan bersedia berhadapan sebarang kemungkinan dan memberi bantuan kecemasan pada perhimpunan aman yang akan diadakan di ibu negara pada Isnin, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata pegawai perubatan di semua hospital kini bersiap-sedia memberikan bantuan kecemasan sekiranya berlaku kemalangan kepada orang awam.

"Ini adalah polisi kita untuk terus membuka hospital dan memberi bantuan kepada orang awam tidak kira apa situasi sekali pun kerana keselamatan dan kesihatan orang ramai adalah tanggungjawab kami," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan sempena Tahun Baru Cina kepada warga tua anjuran MCA Kuantan di sini Ahad.

Liow mengulas mengenai persediaan kerajaan bagi menangani kes kecemasan jika perhimpunan aman tersebut mencetuskan ketegangan di kalangan mereka yang terlibat.

Perhimpunan berkenaan dirancang diadakan sempena pengumuman keputusan oleh Mahkamah Tinggi berhubung perbicaraan Pemimpin Pembangkang dan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun 2008.

Mengulas mengenai kebimbangan sekiranya Kementerian Kesihatan akan didakwa tidak memberi rawatan kepada peserta perhimpunan seperti kes di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini, Liow menegaskan supaya tiada pihak cuba mempolitikkan rawatan yang diberikan kepada pesakit.

"Semua rawatan yang diberikan nanti akan direkodkan supaya mereka tidak memanipulasikan bantuan itu. Tidak perlu buat dakwaan terhadap kami kerana kami sentiasa berniat jujur membantu pesakit dan tiada unsur-unsur politik dalam memberikan bantuan kepada pesakit," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden MCA berkata MCA akan bekerja keras turun padang bersemuka dengan rakyat bagi membongkar taktik licik pembangkang dan menerangkan kepada rakyat dasar-dasar kerajaan khususnya kepentingan Gagasan 1Malaysia.

"Mereka (rakyat) perlu tahu bahawa kita (Barisan Nasional) mempunyai dasar pentadbiran negara yang begitu jelas... bukan macam pembangkang yang tidak sepakat, hanya memperjuangkan matlamat masing-masing," katanya.

Terdahulu, Liow bersama Ketua MCA Kuantan Datuk Ti Lian Ker menyampaikan sumbangan berupa hamper barangan keperluan dan wang tunai kepada kira-kira 800 warga tua daripada pelbagai kaum. - BERNAMA

Artikel Lain