suria

Perhimpunan 9 Januari Ikhtiar Terakhir Anwar Untuk Selamatkan Diri?

KUALA LUMPUR: Ramai penganalisis berpendapat langkah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelajah ke seluruh negara mulai 3 Januari, iaitu seminggu sebelum keputusan perbicaraan kes liwatnya diumumkan mahkamah, sebagai usaha terdesak beliau untuk meyakinkan orang ramai yang beliau tidak bersalah terhadap tuduhan yang dihadapinya.

Mahkamah dijadual mengumumkan keputusan perbicaraan kes itu pada 9 Januari.

Beberapa pemerhati politik berkata siri jelajah yang Anwar lakukan kali ini sama seperti tindakan beliau pada 2 September 1998 selepas dipecat daripada Kabinet oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketika itu, Anwar, yang yakin beliau akan ditangkap, mencetuskan gerakan Reformasi dan mengadakan ceramah politik tanpa henti di seluruh negara.

Pada 20 September, Anwar merancang untuk berucap di Dataran Merdeka, tetapi mengubah tempatnya ke Masjid Negara dengan dihadiri hampir 50,000 orang sebelum beliau ditangkap di rumahnya di Bukit Damansara pada petang hari yang sama.

Para penyokongnya yang tidak dapat membendung kemarahan, mengekori kereta peronda polis hingga ke Ibu Pejabat Polis di Bukit Aman sambil melaungkan slogan "Reformasi" dengan penuh emosi.

Bagaimanapun, ramai berpendapat perhimpunan secara besar-besaran tidak perlu diadakan di mahkamah pada 9 Januari ini.

Memandangkan kedudukan beliau sebagai pemimpin utama pakatan pembangkang, gabungan Pembangkang mungkin dilanda pergolakan sekiranya Anwar disabitkan kesalahan dan dikenakan hukuman penjara, walaupun beliau sendiri menyatakan bahawa pakatan itu mempunyai rancangan luar jangka untuk menghadapi kemungkinan tersebut.

Bukankah ini bererti perhimpunan besar-besaran tidak perlu diadakan walaupun Anwar disabitkan kesalahan dalam kes itu?

Roger Tan, peguam dan bekas anggota Majlis Peguam dan kolumnis akhbar The Star berkata sekiranya mahkamah mendapatinya bersalah, Anwar masih boleh merayu terhadap keputusan itu.

Katanya perhimpunan yang dirancang penyokong Anwar itu boleh dianggap sebagai cubaan untuk menggertak badan kehakiman.

"Jika tindakan mereka itu boleh menyebabkan pengumuman keputusan terpaksa ditangguhkan, mereka boleh dituduh menghina mahkamah," katanya.

Tan berkata perhimpunan seperti itu, yang juga disebut sebagai "keingkaran sivil, nampaknya sudah menjadi amalan popular dalam kalangan ahli politik, khususnya daripada Pembangkang, dengan mendapat sokongan daripada pertubuhan bukan kerajaan serta pergerakan yang memperjuangkan hak sivil dan kebebasan.

"Ia merupakan senjata taktikal yang semakin popular dalam kalangan mereka untuk mewajarkan tindakan mereka membelakangkan undang-undang, yang menurut pandangan mereka sebagai tidak adil, di samping mencetuskan polemik," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sejak beberapa tahun lepas, kumpulan pendesak di seluruh dunia menggunakan kaedah ini untuk membuat perubahan dalam bidang undang-undang dan sosial seperti yang mereka hasratkan.

Bagaimanapun, kata beliau, mereka yang terlibat dengan tindakan yang melanggar undang-undang perlu bersedia menerima hukuman akibat perbuatan mereka itu.

"Tetapi, mereka tetap gembira kerana perbicaraan di mahkamah kelak akan membolehkan mereka mendapat publisiti yang sememangnya mereka harapkan daripada isu yang diperjuangkan," katanya.

Tan berkata kebanyakan pakar undang-undang terkenal menekankan tentang pentingnya kedaulatan undang-undang.

Beliau memetik St Thomas Aquinas (1225-1274) sebagai berkata bahawa walaupun undang-undang yang tidak adil mendera hati nurani, tetapi undang-undang tetap perlu dipatuhi untuk mengelak tercetusnya kacau-bilau.

"Hakim Mahkamah Agung Amerika Abraham Fortas (1910-1982) pula berkata "setiap seorang daripada kita wajib mematuhi undang-undang. Ini merupakan tanggungjawab daripada segi moral dan undang-undang," katanya.

Tan berkata pakar undang-undang dan bapa konsep pemisahan kuasa dari Perancis, Montesquieu (1689-1755) pula berkata

"kebebasan bererti hak untuk melakukan apa yang dibenarkan oleh undang-undang. Beliau berkata dalam ucapan melalui radio dan televisyen pada 30 Sept 1962, Presiden John F. Kennedy (1917-1963) menegaskan:

"Negara kita dibina berasaskan prinsip bahawa kepatuhan terhadap undang-undang menjadi pelindung paling ampuh bagi kebebasan dan tindakan melanggar undang-undang merupakan jalan paling pasti untuk mengalami penderitaan. Ringkasnya, rakyat Amerika boleh tidak bersetuju dengan undang-undang, tetapi mereka tetap perlu mematuhinya."

"Di samping itu, wujud beberapa hujah lain yang boleh digunakan untuk menentang keingkaran sivil. Paling utama, sekiranya sesuatu undang-undang itu diluluskan oleh kerajaan yang dipilih secara demokratik oleh rakyat, maka adalah jelas, orang yang melanggar undang-undang berkenaan tidak bersikap demokratik," kata Tan.

Pandangan Tan dikongsi Timbalan Setiausaha Agung Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Huazhong) Dr Chin Yew Sin apabila beliau berkata bahawa tiada siapa patut menggunakan sebarang cara untuk mempengaruhi badan kehakiman dalam membuat penghakimannya.

Kata Chin, setiap orang tanpa mengira aliran politik, perlu menjunjung kedaulatan undang-undang

"Keputusan kehakiman tidak sepatutnya dipengaruhi oleh orang ramai. Ini perlu dipertahankan. Sekiranya tidak berpuas hati dengan sesuatu keputusan, seseorang itu boleh mengemukakan rayuan kepada mahkamah lebih tinggi. Andainya amalan sedia ada diingkari, maka keputusan mahkamah tidak akan dihormati lagi. Akibatnya akan berlakulah huru-hara," katanya.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Sivamurugan Pandian pula berkata usaha Anwar mengadakan perhimpunan kali ini samalah seperti yang beliau lakukan ketika menjadi pemimpin pelajar pada 1974.

Pada 3 Disember 1974, Anwar mengetuai pelajar mengadakan tunjuk perasaan bagi membantah apa yang mereka dakwa sebagai" kemiskinan dan buluran" yang berlaku di luar bandar, dengan mencipta berita kononnya sebuah keluarga di Baling, Kedah, meninggal dunia akibat kelaparan.

"Beliau cuba mengulangi apa yang pernah dilakukannya pada 1974. Kali ini, beliau menguji kerajaan dan pihak berkuasa untuk melihat sama ada mereka membenarkan perhimpunan secara aman diadakan, terutama selepas Rang Undang-undang Perhimpunan Secara Aman diluluskan," kata Dr Sivamurugan.

Bagaimanapun kata beliau sasaran sebenar perhimpunan itu bukan untuk meraih impak melalui jumlah mereka yang menyertainya, tetapi kesan yang dicapai melalui media sosial.

Beliau berkata Anwar telah menyusun beberapa aktiviti dan program yang akan dilaksanakan di seluruh negara untuk mempengaruhi persepsi orang ramai selepas berkempen melalui media sosial.

"Saya tidak fikir penyertaan dalam perhimpunan itu sangat penting. Apa yang lebih penting ialah mereka yang tidak menyertainya akan dijadikan sasaran melalui media sosial. Dalam dunia maya, polis tidak boleh menyekat mereka daripada berbuat demikian," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain