suria

Perbuatan Vandalisme Menghentam Kerajaan Akan Diambil Tindakan

KUALA LUMPUR: Pihak yang dikenalpasti melakukan vandalisme dengan mengecat dinding bangunan kemudahan awam dengan ayat menghentam kerajaan boleh dikenakan tindakan, kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Beliau berkata perbuatan vandalisme tidak memberi hasil yang positif untuk masyarakat setempat mahupun negara sebaliknya hanya menyebabkan kos tinggi untuk kerja pembersihan.

"Pihak tidak bertanggungjawab itu telah mengecat ayat-ayat menghentam kerajaan dan mengalakkan perhimpunan pada Isnin ini.

"Kita akan bersihkan kawasan-kawasan itu, sekiranya kita dapat tangkap mereka yang melakukan perbuatan itu, tindakan akan diambil," katanya kepada pemberita ketika melawat Taman Rekreasi Bukit Kerinchi Fasa Pertama di sini, Sabtu.

Raja Nong Chik berkata pihaknya akan berkerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengatasi masalah vandalisme di ibu kota.

Terdahulu, Raja Nong Chik berkata fasa pertama pembangunan Taman Bukit Kerinchi di Lembah Pantai kini telah 58 peratus siap.

"Terdapat kelewatan dalam kerja-kerja pembangunan itu kerana faktor cuaca yang tidak menentu akhir tahun lepas. Projek fasa pertama yang bermula 25 Julai lepas itu sepatutnya siap esok," katanya.

Beliau berkata kawasan taman berkeluasan 34.60 hektar terletak berhampiran Pantai Dalam itu merupakan taman awam yang terbesar dibina di ibu kota melibatkan kos RM20 juta daripada kerajaan Persekutuan.

"Kita jangka pembangunan yang akan dibuat dalam tiga fasa itu siap sepenuhnya dalam masa lima tahun," katanya.

Fasa kedua dan ketiga melibatkan pembinaan pintu gerbang, laluan denai, papan tanda arah, tanam pokok, memperlengkapkan taman dengan landskap lembut dan laluan denai semula jadi. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain