Pembangkang Bertanggungjawab Pastikan Perhimpunan Aman - TPM - Semasa | mStar

Pembangkang Bertanggungjawab Pastikan Perhimpunan Aman - TPM

MUAR: Pembangkang bertanggungjawab sepenuhnya untuk menentukan perhimpunan yang dirancang di Kuala Lumpur pada Isnin ini berlangsung dalam keadaan aman dan tenteram, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata pembangkang perlu menjamin perhimpunan terbabit tidak bertukar menjadi kucar-kacir sehingga mengancam keselamatan rakyat dan merosak harta benda awam.

"Tanggungjawab mereka (ialah pastikan) jangan ada kumpulan-kumpulan merosakkan harta benda awam dan mencetuskan keadaan yang menjejaskan keselamatan awam," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan dan penyampaian bantuan untuk rakyat pada program Kesejahteraan Rakyat Parlimen Pagoh di Dewan Seri Pekembar di Pagoh di sini.

Muhyiddin berkata perhimpunan itu dibenarkan selaras dengan Akta Perhimpunan Aman 2011 tetapi pada masa yang sama penganjur perlu mematuhi arahan polis.

Penganjur perhimpunan itu perlu juga memahami bahawa tugas-tugas polis adalah untuk memelihara ketenteraman awam dan mengelak keadaan daripada menjadi tidak terkawal, katanya.

Polis Kuala Lumpur semalam membenarkan penyokong ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perhimpunan di tempat letak kereta di luar perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta, pada Isnin ini.

Persetujuan itu dicapai selepas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh mengadakan perbincangan dengan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Penganjur perhimpunan dikehendaki memastikan perhimpunan itu dijalankan secara aman dan tidak mengganggu ketenteraman awam.

Muhyiddin berkata beliau yakin polis mampu mengawal keadaan sekiranya keadaan menjadi tidak terkawal pada perhimpunan itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata walaupun perhimpunan Isnin ini mendapat kebenaran pihak berkuasa tetapi tetap merupakan tindakan tidak bertanggungjawab di pihak pembangkang yang cuba mencampuri urusan kehakiman negara ini.

Perhimpunan itu merupakan suatu tindakan mengugut sistem kehakiman negara ini, katanya.

Pembangkang, katanya, hanya berminat untuk memperjuangkan maruah individu tertentu sebagaimana yang dapat dilihat daripada penganjuran perhimpunan Isnin ini.

Sementara itu, Muhyiddin turut ditanya mengenai temuramah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dengan akhbar Sin Chew Jit Poh di mana beliau menjangkakan pakatan pembangkang mampu merampas kembali Perak dan memenangi satu pertiga kerusi yang dipertandingkan di Johor pada pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Perdana Menteri berkata Lim boleh membuat segala ramalan malah boleh juga mendakwa pakatan pembangkang mampu memenangi kesemua kerusi yang dipertandingkan.

"Ia tidak membawa kesan apa-apa kepada kita (Barisan Nasional). Beliau (Lim) boleh cerita kepada seluruh dunia dia akan capai itu dan ini. Barisan Nasional mempunyai strateginya sendiri," katanya.

Pada akhirnya kata beliau, keputusan terletak di tangan rakyat. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

default image

Najib Bertemu Komponen BN Pahang

Klik

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

default image

Merangsang Korporat Malaysia, PNB rangka strategi bersama pemimpin korporat kukuhkan ekonomi negara

SEJAJAR usaha Malaysia untuk menjadi kuasa ekonomi, adalah tepat pada masanya bagi sektor korporat negara meninjau ke arah langkah-langkah perubahan.

Artikel Lain

Guardiola bakal tinggalkan City?